SANDAKAN: Selama dua dekad, Persatuan Sokongan Kanser Payudara Sandakan atau Sandakan Pink Ribbon terus memainkan peranan membantu pesakit kanser payudara menerusi sokongan moral, bantuan kebajikan dan pelbagai program kesedaran.
Bermula sebagai inisiatif meningkatkan kesedaran mengenai kanser payudara pada 2006, persatuan itu kini berkembang menjadi platform sokongan kepada pesakit serta keluarga dalam menghadapi cabaran sepanjang proses rawatan.
Sempena sambutan ulang tahun ke-20 penubuhannya, Sandakan Pink Ribbon berjaya mengumpul dana sebanyak RM42,000 menerusi majlis makan malam amal yang berlangsung di Sabah Hotel, di sini, pada Sabtu.
Presiden Persatuan Sokongan Kanser Payudara Sandakan, Mary Alex Mansiw berkata, dana berkenaan akan digunakan bagi meneruskan bantuan kepada pesakit, selain membiayai pelbagai program kesedaran dan kebajikan.
Menurutnya, persatuan menyediakan bantuan kewangan sebanyak RM250 kepada pesakit, manakala bantuan tambahan turut dipertimbangkan berdasarkan keperluan masing-masing.
Beliau berkata, sokongan moral daripada keluarga, khususnya suami dan ahli keluarga terdekat, amat penting dalam memberikan kekuatan kepada pesakit sepanjang menjalani rawatan.
Katanya, sokongan berterusan daripada insan terdekat mampu membantu pesakit menghadapi cabaran fizikal dan emosi ketika berjuang melawan penyakit berkenaan.
Bantuan persatuan itu bukan sahaja tertumpu kepada pesakit di Sandakan, malah turut menjangkau kawasan luar bandar dan daerah berdekatan termasuk Telupid, Beluran serta Tongod.
Antara usaha dilaksanakan termasuk mengadakan lawatan ke hospital dan kediaman pesakit, selain menghubungkan individu yang baru disahkan menghidap kanser payudara dengan bekas pesakit bagi berkongsi pengalaman serta memberikan sokongan.
Persatuan itu turut melaksanakan program kesedaran di sekolah, ladang dan kawasan luar bandar bagi meningkatkan pengetahuan masyarakat serta menggalakkan pengesanan awal kanser payudara.
Pada awal penubuhannya, gerakan berkenaan bermula sebagai jawatankuasa kesedaran dengan kerjasama Hospital Duchess of Kent sebelum didaftarkan secara rasmi sebagai persatuan pada 2017.
Kini, Sandakan Pink Ribbon mempunyai pusat sendiri yang beroperasi di Bandar Utama, Batu Enam, Sandakan.
Majlis makan malam amal sempena ulang tahun ke-20 itu turut menjadi penghargaan kepada sukarelawan, petugas kesihatan, bekas pesakit dan masyarakat yang selama ini menyumbang kepada kelangsungan usaha persatuan berkenaan.-DAKWAT RAKYAT POST
