KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa mengambil tindakan segera menangani kekurangan pegawai perubatan di Sabah, termasuk menambah penempatan doktor dari Semenanjung bagi memastikan keperluan rawatan rakyat terus terpelihara.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor (PKMB), Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles berkata, kekurangan doktor yang berlarutan memerlukan penyelesaian menyeluruh kerana ia memberi kesan kepada kelancaran perkhidmatan kesihatan, khususnya di hospital daerah.
Beliau berkata, pihaknya menyokong gesaan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Sabah supaya KKM memberi perhatian serius terhadap isu berkenaan yang sekian lama menjadi cabaran dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan di negeri ini.
Menurutnya, masalah kekurangan pegawai perubatan bukan sahaja melibatkan Hospital Ranau, malah turut dirasai beberapa fasiliti kesihatan lain termasuk Hospital Daerah Keningau yang memerlukan penambahan doktor.
“Keperluan doktor yang mencukupi amat penting bagi memastikan pesakit mendapat rawatan sewajarnya, mengurangkan tempoh menunggu serta memastikan perkhidmatan kecemasan dan rawatan harian dapat diberikan dengan lebih berkesan,” katanya.
Yazid yang juga Ahli Jawatankuasa Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian P180 Keningau berkata, kekurangan doktor turut meningkatkan beban tugas pegawai perubatan sedia ada yang terpaksa bekerja lebih lama dan menjalani tugas atas panggilan dengan lebih kerap.
Katanya, situasi itu berpotensi menjejaskan kebajikan, kesihatan serta motivasi petugas perubatan, sekali gus memberi kesan kepada kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan.
Beliau menegaskan rakyat Sabah, sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar, berhak mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, cekap dan mencukupi tanpa berdepan kesukaran mendapatkan rawatan akibat kekurangan tenaga perubatan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan KKM mempertimbangkan penempatan sementara doktor dari Semenanjung, mempercepat pengisian jawatan kosong serta menyusun semula penempatan pegawai perubatan berdasarkan tahap keperluan setiap hospital dan daerah.
Dalam jangka panjang, katanya, kerajaan perlu memperkukuh insentif penempatan di Sabah, khususnya di kawasan luar bandar, selain menyediakan kemudahan penginapan yang bersesuaian serta dasar pengekalan doktor yang lebih berkesan.
Yazid turut menyarankan supaya pembangunan tenaga perubatan tempatan diperkasakan melalui peluang latihan, pengambilan dan laluan kerjaya yang lebih baik bagi mengurangkan kebergantungan kepada penempatan dari luar negeri.
Beliau berharap KKM bersama Kerajaan Negeri Sabah dapat memberikan perhatian serius terhadap isu berkenaan kerana kesihatan rakyat merupakan keperluan asas yang tidak boleh dikompromi.
“Jangan sampai rakyat terpaksa menanggung kesan akibat kekurangan tenaga perubatan. Tindakan segera amat diperlukan demi kebajikan pesakit, keselamatan rakyat dan kesejahteraan petugas kesihatan yang selama ini berkhidmat dengan penuh tanggungjawab,” katanya.-DAKWAT RAKYAT POST
