KOTA KINABALU: Pemaju perumahan dan hartanah di Sabah digesa mengutamakan pembangunan mampan, perancangan bandar teratur serta penyediaan rumah mampu milik bagi memastikan lebih ramai rakyat berpeluang memiliki kediaman sendiri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata tiga keutamaan itu perlu menjadi asas kepada perancangan pembangunan sektor hartanah bagi memastikan kemajuan negeri dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.
Beliau berkata, pemaju perlu mengamalkan reka bentuk dan kaedah pembinaan cekap sumber, mengurangkan kos operasi jangka panjang serta mengambil kira keperluan alam sekitar Sabah.
“Pemaju juga perlu memastikan penggunaan tanah secara cekap, selain menyediakan kemudahan pengangkutan, utiliti dan kemudahan awam mencukupi bagi menyokong pembangunan baharu.
“Selain itu, pemaju perlu bekerjasama dengan kerajaan untuk mencari pendekatan praktikal bagi memenuhi keperluan pembeli rumah pertama, keluarga muda dan isi rumah berpendapatan sederhana, di samping memastikan projek yang dilaksanakan kekal berdaya maju,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, pada Majlis Malam Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (SHAREDA) di Magellan Sutera Resort, di sini, malam tadi.
Hajiji berkata, kerajaan negeri menyedari pelbagai cabaran yang dihadapi industri hartanah, termasuk peningkatan kos pembinaan dan pembiayaan, gangguan rantaian bekalan serta kos pengangkutan bahan binaan ke Sabah.
Katanya, proses kelulusan yang mengambil masa panjang, ketidakjelasan syarat serta kekangan infrastruktur asas seperti bekalan elektrik, air dan jalan raya turut memberi kesan kepada pelaksanaan projek pembangunan.
“Apabila aktiviti pembangunan menjadi perlahan, kontraktor dan pembekal menerima lebih sedikit kerja, peluang pekerjaan berkurangan dan pelaburan mungkin ditangguhkan.
“Pada masa sama, apabila peningkatan kos dipindahkan kepada pembeli, semakin ramai keluarga menghadapi kesukaran untuk memiliki rumah.
“Justeru, menangani cabaran ini bukan sahaja penting kepada industri, malah ekonomi Sabah secara keseluruhan dan kualiti hidup rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan dan pemain industri bagi meningkatkan kecekapan serta kejelasan proses kelulusan, memperkukuh infrastruktur asas dan mengenal pasti halangan yang boleh diselesaikan.
Bagaimanapun, katanya, usaha memperkemas proses pembangunan itu tidak boleh menjejaskan aspek keselamatan, piawaian alam sekitar dan kepentingan awam.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, sektor hartanah bukan sekadar menyediakan rumah dan premis perniagaan, malah turut menyumbang kepada peluang pekerjaan dalam sektor pembinaan, perkhidmatan profesional, pembekalan, pengangkutan dan pembiayaan.
Beliau berkata, pembangunan perumahan, pusat komersial dan kemudahan perindustrian yang dirancang dengan baik juga mampu menarik pelaburan serta membantu perniagaan tempatan berkembang.
Katanya, industri hartanah akan terus memainkan peranan penting dalam menyokong agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), khususnya dalam sektor pertanian, perindustrian, pelancongan dan infrastruktur.
Beliau turut mengiktiraf SHAREDA sebagai rakan strategik penting kerajaan negeri dalam mengetengahkan pandangan serta cadangan praktikal berkaitan pembangunan, perancangan bandar dan perumahan.
Hajiji berharap SHAREDA dan semua ahlinya terus mengekalkan standard integriti, inovasi serta kualiti tinggi dalam usaha membangunkan komuniti lebih kukuh dan ekonomi Sabah yang berdaya tahan untuk generasi akan datang.-DAKWAT RAKYAT POST
