NUNUKAN: Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI AL) menggagalkan cubaan menyeludup pakaian terpakai dari Tawau, Sabah, ke perairan Sebatik, Indonesia, pada awal pagi 30 Oktober lalu.
Komandan Pangkalan TNI AL Nunukan, Kolonel Laut (P) Slamet Ariyadi berkata, operasi bersama itu membabitkan Lanal Nunukan, Satuan Tugas Kopaska Guspurlа Koarmada II dan Satuan Tugas Intelstrat Citarum BAIS TNI.
Katanya, pasukan bertindak selepas menerima maklumat pada jam 1 pagi mengenai penghantaran pakaian terpakai melalui laluan laut Sebatik.
Pada kira-kira jam 2.15 pagi, pasukan mengesan sebuah jongkong dan sebuah bot laju yang dipercayai sedang memindahkan muatan dari satu bot ke bot lain di perairan Indonesia.
“Ketika pasukan menghampiri untuk pemeriksaan, individu di atas longboat berpindah ke bot laju dan melarikan diri ke arah utara.
“Pengejaran dilakukan, namun terpaksa dihentikan selepas bot laju itu memasuki perairan Malaysia,” katanya dalam kenyataan media di Nunukan, 31 Oktober.
Pasukan kemudian menahan jongkong bersama muatannya dan mengiringinya ke Posal Sei Pancang sebelum dibawa ke Markas Komando Lanal Nunukan untuk pemeriksaan lanjut.
Slamet berkata, pemeriksaan mendapati muatan itu terdiri daripada 16 koli dan enam karung pakaian terpakai yang dianggarkan bernilai sekitar Rp62 juta, berdasarkan harga pasaran setempat.
Beliau berkata, tiada individu ditahan kerana mereka melarikan diri ke perairan Malaysia, namun siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pemilik, penerima dan rangkaian yang terlibat.
Menurutnya, pakaian terpakai itu dipercayai dibawa dari Tawau menggunakan bot laju sebelum dipindahkan ke jongkong di tengah laut bagi mengelakkan dikesan.
Jongkong berkenaan dipercayai akan memindahkan muatan itu sekali lagi kepada bot laju lain untuk dibawa ke destinasi terakhir.
Kes berkenaan diserahkan kepada Pejabat Kastam dan Eksais Nunukan untuk tindakan lanjut, manakala barang bukti disimpan di Markas Komando Lanal Nunukan sementara menunggu keputusan pelupusan.
Slamet berkata, TNI AL akan terus meningkatkan rondaan di perairan sempadan dan menggesa masyarakat melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam kegiatan penyeludupan yang boleh menjejaskan hasil negara serta perniagaan tempatan.-DAKWAT RAKYAT POST
