KUCHING: Empat lelaki tempatan ditahan dalam tiga serbuan berasingan di Kuching pada 1 November lalu, dengan polis merampas dadah disyaki ketamin, pil ekstasi dan methamphetamine bernilai keseluruhan RM8,504.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga anak Chabu berkata, dalam serbuan pertama kira-kira jam 4.30 pagi di perkarangan Travillion Commercial Centre, polis menahan dua lelaki berusia 27 dan 31 tahun.
Pemeriksaan terhadap mereka menemukan dadah disyaki ketamin seberat 12.68 gram serta 19 pil ekstasi seberat 13 gram, dengan nilai pasaran dianggarkan RM1,640.
Kedua-dua suspek didapati positif amphetamine dan methamphetamine menerusi saringan awal air kencing, manakala semakan rekod mendapati mereka masing-masing mempunyai empat dan lima rekod jenayah lampau.
Dalam serbuan kedua kira-kira jam 1.15 tengah hari di sebuah rumah di Taman Satria Jaya, polis menahan seorang lelaki berusia 35 tahun dan merampas methamphetamine seberat 5.60 gram yang dianggarkan bernilai RM616.
Suspek itu turut didapati positif amphetamine dan methamphetamine dalam saringan awal air kencing serta mempunyai lima rekod jenayah lampau.
Serbuan ketiga kira-kira jam 1.45 tengah hari di Taman Hakka Avenue Park pula menyaksikan seorang lelaki berusia 47 tahun ditahan selepas dipercayai cuba melarikan diri daripada polis menggunakan sebuah kereta.
Pemeriksaan terhadap suspek menemukan methamphetamine seberat 56.80 gram, dengan nilai pasaran dianggarkan RM6,248.
Suspek itu didapati positif amphetamine dan methamphetamine menerusi saringan awal air kencing serta mempunyai 19 rekod jenayah lampau.
Alexson berkata, kesemua suspek direman bagi membantu siasatan, dengan tiga suspek pertama direman selama empat hari mulai 2 hingga 5 November, suspek kedua serbuan selama dua hari mulai 3 hingga 4 November, manakala suspek serbuan ketiga direman selama tujuh hari mulai 3 hingga 9 November.
Kes serbuan pertama dan kedua disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala kes serbuan ketiga disiasat mengikut Seksyen 39B akta sama.
Beliau berkata, kejayaan itu hasil risikan berterusan dan kerjasama orang awam, selain menegaskan polis tidak akan berkompromi dengan pihak yang terbabit dalam pengedaran dadah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah boleh menghubungi Hotline JSJN di talian 012-208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di talian 017-592 9211.-DAKWAT RAKYAT POST
