IPOH: Polis menahan lima lelaki warga China berusia 26 hingga 43 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di kawasan perumahan Anjung Bercham Utama, di sini, pada 30 Oktober lalu.
Ketua Polis Perak, Dato’ Mohd Alwi bin Zainal Abidin berkata, serbuan kira-kira jam 6.30 petang itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.
Beliau berkata, siasatan awal serta skrip perbualan yang ditemui dalam komputer dirampas membawa kepada kepercayaan bahawa sindiket berkenaan menjalankan kegiatan pusat panggilan bagi penipuan pelaburan tidak wujud secara dalam talian.
Sindiket itu dipercayai mula beroperasi di premis berkenaan sejak September lalu dengan menyasarkan mangsa di Jerman.
Menurutnya, suspek dipercayai menggunakan aplikasi WhatsApp dan capaian internet tempatan untuk menghubungi mangsa secara rawak, dengan menyamar menggunakan gambar wanita berpenampilan menarik.
Mangsa kemudian dipujuk melabur dalam syarikat yang kononnya berpangkalan di Jerman dengan tawaran keuntungan tinggi sebelum diminta membuat bayaran berulang kali.
Polis turut merampas lima komputer, 10 telefon bimbit dan empat router yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM25,000.
Kesemua suspek direman selama empat hari mulai 31 Oktober hingga 3 November bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan 120B Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.
Mohd Alwi menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak mudah mempercayai individu yang hanya dikenali melalui perbualan dalam talian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penipuan seumpama itu diminta menyalurkannya ke balai polis berhampiran.-DAKWAT RAKYAT POST
