KOTA KINABALU: Seramai 14 lelaki warga China ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam serbuan di sebuah rumah banglo tiga tingkat di kawasan kediaman elit di bandar raya ini, semalam.
Kesemua mereka berusia antara 26 hingga 44 tahun dipercayai terbabit dalam kegiatan penipuan dalam talian berdasarkan penemuan pelbagai peralatan komputer dan kemudahan internet di premis berkenaan.
Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, serbuan menerusi Ops Serkap kira-kira jam 11 malam itu dilakukan Bahagian Penguatkuasa Kota Kinabalu selepas menjalankan risikan dan pemantauan selama seminggu.
Menurutnya, operasi membabitkan 49 pegawai penguat kuasa JIM Sabah dari Ibu Pejabat Kota Kinabalu.
“Hasil pemeriksaan dokumen perjalanan dan semakan rekod imigresen mendapati 13 daripada mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa.
“Seorang lagi pula melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana berada di negara ini tanpa pas atau permit yang sah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas operasi berkenaan di Depot Imigresen Sandakan, hari ini.
Sitti Saleha berkata, pemeriksaan mendapati semua individu terbabit memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial sebelum dikesan berada di premis berkenaan ketika serbuan dijalankan.
Katanya, pihak penguat kuasa turut merampas wang tunai RM3,742 dan 560 yuan China (CNY), selain 14 komputer riba bersama kelengkapan komputer.
“Turut dirampas 75 telefon bimbit pelbagai jenama, 13 kerusi, enam meja serta satu set peralatan dan kelengkapan internet yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti dijalankan di premis itu,” katanya.
Beliau berkata, semua individu ditahan bersama barangan rampasan dibawa untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang berkuat kuasa.
Menurutnya, JIM Sabah memandang serius sebarang pelanggaran undang-undang imigresen, termasuk kesalahan tinggal lebih masa, berada di negara ini tanpa dokumen sah serta penyalahgunaan pas.
Katanya, kegiatan warga asing yang disyaki terbabit dalam penipuan dalam talian turut menjadi kebimbangan dan akan terus diberi perhatian menerusi operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa.
“JIM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana warga asing yang melanggar undang-undang imigresen negara.
“Operasi akan terus dipergiatkan, termasuk pemeriksaan dan tindakan terhadap premis yang disyaki menjadi lokasi kegiatan warga asing yang menyalahi undang-undang,” katanya.
Beliau turut menggesa masyarakat, khususnya rakyat Sabah, supaya menyalurkan maklumat kepada agensi penguat kuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan.-DAKWAT RAKYAT POST
