KUALA LUMPUR: UMNO mengesahkan sudah menyelesaikan pembayaran denda RM50 juta yang dikenakan terhadap Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pagi tadi, bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kutipan menerusi Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan pada 18 September lalu sudah mencapai sasaran dan mencukupi untuk menjelaskan denda berkenaan.
Sehubungan itu, beliau berkata, UMNO secara rasmi menutup akaun khas tabung berkenaan dan tidak lagi memerlukan sumbangan orang ramai bagi tujuan tersebut.
“UMNO ingin merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah dan merakamkan ucapan penghargaan kepada ahli UMNO seluruh Malaysia dan orang ramai yang tidak putus-putus menyumbang ke dalam akaun yang disediakan sejak hari pertama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, peguam Najib, Muhammad Farhan Shafee, turut mengesahkan pembayaran denda RM50 juta berkenaan sudah diselesaikan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.
“Ya, sudah bayar,” katanya ringkas.
Terdahulu, Muhammad Farhan tiba di mahkamah kira-kira jam 11.30 pagi sambil membawa beg hitam berkunci bagi menyelesaikan urusan pembayaran serta melengkapkan prosedur pentadbiran berkaitan.
Beliau berkata, pihaknya kini menunggu surat perintah pembebasan tahanan untuk diserahkan kepada Jabatan Penjara Malaysia bagi tindakan selanjutnya.
Pembayaran denda itu antara syarat pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 September lalu, yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Keputusan berkenaan dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang berlangsung di Istana Negara.
Sumber-BuletinTV3
