LAHAD DATU: Tiga premis di daerah ini dikenakan denda keseluruhan RM28,200 selepas pemilik masing-masing mengaku bersalah atas 14 pertuduhan gagal mematuhi Notis Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK).
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid dalam kenyataan memaklumkan, tindakan itu diambil susulan kegagalan premis terbabit mematuhi notis yang dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Kes pertama membabitkan sebuah bangunan yang digunakan sebagai tempat perhimpunan atau rekreasi, dengan pemiliknya mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan di Mahkamah Majistret Lahad Datu.
Pemilik berkenaan dikenakan denda RM2,500 bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan RM7,500.
Kes kedua pula membabitkan sebuah kedai serbaneka yang pemiliknya mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan dan dikenakan denda keseluruhan RM12,500.
Sementara itu, sebuah premis yang beroperasi sebagai kilang dan kedai dikenakan denda RM13,200 bagi enam pertuduhan selepas wakil pemilik mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan di mahkamah sama.
Dalam perkembangan berkaitan, sebuah premis seumpama kedai serbaneka yang beroperasi di Semporna dan dimiliki individu sama turut disabitkan kesalahan di bawah seksyen sama dalam prosiding di Mahkamah Majistret Semporna pada 5 November lalu.
BBP Lahad Datu menegaskan komitmennya untuk terus menguatkuasakan Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) bagi memastikan pemilik premis mematuhi keperluan keselamatan kebakaran serta tidak mengabaikan notis yang dikeluarkan pihak bomba.
Orang ramai, khususnya pemilik dan pengurus premis di sekitar Lahad Datu, turut dinasihatkan supaya memastikan premis masing-masing mendapatkan ulasan dan sokongan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi mengelakkan tindakan undang-undang atas kesalahan sama.
Menurut kenyataan itu, pematuhan berkenaan penting bagi memastikan setiap premis berada dalam keadaan selamat dan bebas daripada bahaya kebakaran yang boleh mengancam keselamatan penghuni serta pengunjung.-DAKWAT RAKYAT POST
