MIRI: Seorang lelaki warga Indonesia berusia 22 tahun ditahan polis selepas disyaki melakukan gangguan seksual terhadap seorang pekerja wanita di sebuah pejabat di Jalan Pujut-Lutong, di sini.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee bin Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 6.49 petang.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku apabila suspek yang tinggal bersebelahan pejabat berkenaan menggunakan tandas di tempat kerja pengadu sebelum bertindak memeluk wanita itu dari arah hadapan sebaik keluar dari tandas.
Tindakan suspek menyebabkan pengadu menjerit meminta pertolongan, sebelum lelaki terbabit melarikan diri selepas mangsa cuba menghubungi talian kecemasan 999.
Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan anggota polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ), Balai Polis Pusat Miri berjaya menahan suspek di belakang sebuah restoran di Jalan Pujut 7-Lutong.
Operasi tangkapan itu diketuai Pemangku Timbalan Ketua Polis Balai Pusat Miri, Sarjan Helmi bin Yusop.
Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Mohd Farhan menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah bagi membantu polis membanteras jenayah.
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan IPD Miri menerusi talian 085-433400 atau dengan mengunjungi balai polis berhampiran.-DAKWAT RAKYAT POST
