KOTA KINABALU: Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Kontinjen Sabah, SAC Datuk Abdul Fuad Abdul Malek dilantik sebagai Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dengan memangku pangkat Deputi Komisioner Polis (DCP).
Beliau menggantikan DCP Datuk Victor Sanjos yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah dan dijadualkan melapor diri selepas penyandang jawatan itu, Datuk Jauteh Dikun, bersara wajib pada 11 November ini.
Beliau diberikan tanggungjawab baharu menerajui pasukan keselamatan yang memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman di kawasan pantai timur Sabah.
Sebelum pelantikan itu, Abdul Fuad mempunyai pengalaman mengetuai Jabatan KDNKA Kontinjen Sabah selepas pernah berkhidmat sebagai Ketua Polis Daerah Sandakan.
Pengalaman luas dalam bidang kepolisan, khususnya berkaitan keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam, dijangka menjadi antara aset penting dalam menggalas tanggungjawab baharu berkenaan.
ESSCOM yang bertanggungjawab menyelaras aspek keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) mempunyai peranan strategik dalam menangani pelbagai ancaman keselamatan, termasuk pencerobohan, penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.-DAKWAT RAKYAT POST
