KOTA MARUDU: Rekod pentadbiran kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor disifatkan berasaskan pencapaian ekonomi dan pelaksanaan pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.
Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Ekonomi Kota Marudu (PERKOM) merangkap Ketua Penyelaras Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tandek, Dato’ Dr. Janathan Kandok berkata, prestasi kerajaan negeri perlu dinilai berdasarkan data, impak sosioekonomi dan hasil pembangunan, bukannya dakwaan atau persepsi politik.
Beliau menyifatkan label kegagalan yang dilemparkan terhadap pentadbiran GRS oleh pihak pembangkang dan pengkritik sebagai naratif politik yang tidak mencerminkan keseluruhan pencapaian kerajaan negeri.
“Matematik pembangunan tidak pernah bohong. Untuk nilai prestasi kerajaan GRS mesti berasaskan data sahih, impak sosioekonomi nyata dan tahap kesejahteraan rakyat, bukan melalui momokan retorik serta penulisan berunsur persepsi menjelang pilihan raya,” katanya.
Menurut Dr. Janathan, pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) bukan sekadar dokumen perancangan, sebaliknya menjadi kerangka strategik kerajaan negeri dalam memperkukuh ekonomi serta kedudukan Sabah dalam pengurusan sumber negeri.
Beliau turut menolak dakwaan berkaitan penjualan hasil negeri dengan merujuk kepada penglibatan SMJ Energy Sdn Bhd dalam industri minyak dan gas, termasuk pegangan ekuiti dalam Lapangan Semarang, SAMUR, PFLNG 3 serta Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) bersama PETRONAS.
Dalam aspek kewangan negeri, beliau berkata dakwaan mengenai kelemahan fiskal dan kebankrapan agensi perlu dinilai berdasarkan rekod kewangan rasmi, termasuk kutipan hasil tahunan serta kedudukan rizab tunai Sabah.
Katanya, peningkatan hasil negeri turut memberi ruang kepada kerajaan meneruskan pelbagai inisiatif kebajikan dan pembangunan untuk masyarakat di peringkat akar umbi.
Antara program yang diketengahkan ialah pembinaan Rumah Mesra SMJ, bantuan tunai SYUKUR, penajaan pembangunan modal insan serta penyediaan prasarana sosioekonomi tempatan termasuk di kawasan Kota Marudu.
Dr. Janathan berkata, rakyat Sabah, khususnya di Kota Marudu, mempunyai keupayaan menilai pencapaian pentadbiran berdasarkan khidmat dan pembangunan yang dilaksanakan.
Beliau menegaskan kerajaan negeri perlu terus memberi tumpuan kepada tanggungjawab pentadbiran serta memastikan hasil kekayaan negeri dimanfaatkan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.-DAKWAT RAKYAT POST
