KOTA KINABALU: Peniaga diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan keperluan secara tidak munasabah sempena sambutan Deepavali, sebaliknya perlu mematuhi harga maksimum yang ditetapkan kerajaan.
Pengerusi Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Cawangan Sabah, David Chan berkata, peniaga, pemborong dan peruncit perlu mematuhi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026 yang berlangsung dari 4 hingga 10 November ini.
Menurutnya, skim yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu melibatkan 11 jenis barangan keperluan, termasuk bawang besar merah, bawang merah kecil dan bawang merah ros dari India, cili merah serta daging kambing import bertulang.
Turut disenaraikan ialah kacang dhal Australia, kelapa biji, kelapa parut, santan, tomato dan ubi kentang import dari China.
“Peniaga wajib mematuhi harga maksimum yang ditetapkan kerajaan dan mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan yang dikawal,” katanya dalam satu kenyataan.
David berkata, peniaga yang menjual barangan kawalan melebihi harga maksimum boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, termasuk denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat pula, denda boleh dikenakan sehingga RM500,000 jika didapati melakukan kesalahan.
Sehubungan itu, beliau menggesa KPDN supaya mempergiat pemeriksaan di pasar awam, pasar raya, kedai runcit dan premis perniagaan, khususnya di Sabah, bagi memastikan semua peniaga mematuhi peraturan ditetapkan.
Dalam masa sama, pengguna dinasihatkan supaya membandingkan harga, berbelanja mengikut keperluan serta melaporkan kepada KPDN sekiranya mengesan sebarang pelanggaran peraturan.
Menurut David, kenaikan harga barangan keperluan boleh memberi kesan kepada perbelanjaan isi rumah, khususnya golongan berpendapatan rendah, warga emas serta keluarga dalam kumpulan B40 dan M40.
Beliau turut mengucapkan Selamat Menyambut Deepavali 2026 kepada masyarakat India di Malaysia, sambil berharap perayaan itu membawa kebahagiaan dan kesejahteraan serta terus mengukuhkan perpaduan masyarakat berbilang kaum.-DAKWAT RAKYAT POST
