SANDAKAN: DAP Sabah bertekad mempertahankan dua kerusi Parlimen yang disandangnya ketika ini, iaitu Sandakan dan Kota Kinabalu, pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Pengerusinya, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, kedua-dua kerusi berkenaan menjadi keutamaan parti dalam usaha memperkukuh sokongan akar umbi serta mendapatkan semula mandat rakyat.
Ketika ini, DAP mempunyai dua wakil di Parlimen Sabah, masing-masing Datuk Chan Foong Hin bagi kawasan Kota Kinabalu dan Vivian Wong Shir Yee bagi Sandakan.
Bagaimanapun, DAP Sabah sebelum ini tewas di semua kerusi yang ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu.
Mengulas perkara itu, Phoong berkata, parti sedang meneliti beberapa pembaharuan dalaman bagi memperkukuh organisasi serta memenuhi aspirasi rakyat Sabah yang mahukan perubahan dalam landskap politik negeri.
Menurutnya, DAP perlu memberi tumpuan kepada kekuatan sedia ada, termasuk memperkukuh jentera parti dan merekrut ahli baharu sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.
Beliau menegaskan seluruh anggota parti perlu bersiap siaga menghadapi cabaran bagi memastikan kemenangan dan memperoleh semula mandat rakyat.
Phoong berkata demikian ketika ditemui pada sidang media sempena Konvensyen Tahunan DAP Sabah 2026 di Sandakan, pada Ahad.
Mengulas kemungkinan DAP Sabah bertanding di lebih banyak kerusi pada PRU akan datang, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut buat masa ini.
Sebaliknya, beliau menegaskan fokus utama parti ketika ini adalah mempertahankan kerusi Sandakan dan Kota Kinabalu dengan komitmen penuh, selain bekerja lebih keras untuk memenuhi harapan rakyat.- DAKWAT RAKYAT POST
