KOTA KINABALU: Gardenia Bakeries (East Malaysia) Sdn Bhd memberi jaminan bahawa keselamatan makanan, kebersihan dan kawalan kualiti produk keluarannya sentiasa menjadi keutamaan syarikat itu susulan isu membabitkan produk Gardenia yang tular di media sosial.
Datuk Dexter Lau daripada Kim Teck Cheong Consolidated Berhad berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai isu berkenaan serta kenyataan rasmi yang dikeluarkan Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd.
Beliau menjelaskan, Gardenia Bakeries (East Malaysia) Sdn Bhd dan Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd adalah dua entiti perniagaan berasingan yang mempunyai struktur pemilikan serta pengurusan masing-masing.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa operasi Gardenia Bakeries (East Malaysia) Sdn Bhd sentiasa memberi penekanan terhadap aspek keselamatan makanan, kebersihan dan kawalan kualiti.
Katanya, syarikat itu juga komited memastikan setiap produk yang dihasilkan mematuhi standard keselamatan dan kualiti makanan, selain memenuhi semua piawaian serta peraturan ditetapkan.
“Kami sentiasa komited untuk memastikan setiap produk yang dihasilkan memenuhi standard keselamatan dan kualiti makanan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan rasmi.
Beliau turut menghargai kepercayaan dan sokongan berterusan pengguna terhadap produk Gardenia keluaran syarikat itu.
Katanya, komitmen berkenaan akan terus dipertahankan bagi memastikan pengguna mendapat produk yang selamat dan berkualiti tinggi-DAKWAT RAKYAT POST
