TAWAU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan memiliki 35.54 gram Methamphetamine atau syabu, tahun lalu.
Hakim Ahmad Faizadh Yahaya menjatuhkan hukuman itu terhadap Mursham Julpi, 35, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas selesai menjalani hukuman.
Mengikut pertuduhan, Mursham memiliki dadah jenis Methamphetamine itu di kawasan Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas, di sini, jam 7.30 pagi, 21 Oktober 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang lima tahun, dan 10 sebatan.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan operasi di kawasan berkenaan sebelum tertuduh dilihat dalam keadaan mencurigakan.
Ketika operasi itu, polis menghampiri tertuduh yang sedang berlegar-legar dengan memakai beg pinggang hitam.
Tertuduh cuba melarikan diri selepas anggota polis menunjukkan kad kuasa, namun berjaya diberkas selepas berlaku pergelutan.
Mursham kemudian menyerahkan beg itu kepada polis dan menemukan 16 paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih yang disahkan oleh Jabatan Kimia sebagai Methamphetamine.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Wildan Firdaus Ahmad Fazly, dalam hujahan pemberatan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dengan mengambil kira kepentingan awam dan keseriusan jenayah dadah di Sabah, khususnya di Tawau dan Semporna.
Beliau turut memohon supaya Mursham dirujuk kepada JIM untuk tindakan lanjut.-DAKWAT RAKYAT POST
