KOTA KINABALU: Datuk Victor Sanjos secara rasmi mengambil alih tugas sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu, menggantikan Datuk Jauteh Dikun yang menamatkan perkhidmatan selepas lebih 32 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Majlis pemakaian pangkat Komisioner Polis dan serah terima tugas itu berlangsung di Auditorium Sayat-Sayat, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, petang ini.
Majlis berkenaan disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid yang turut menyempurnakan pemakaian pangkat Komisioner Polis kepada Victor.
Victor sebelum ini berkhidmat sebagai Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sebelum diberikan tanggungjawab menerajui PDRM Kontinjen Sabah.
Peralihan kepimpinan itu menandakan bermulanya tanggungjawab baharu Victor dalam meneruskan usaha memperkukuh keselamatan, membanteras jenayah serta memelihara ketenteraman awam di negeri ini.
Pada majlis sama, Jauteh menyerahkan tugas kepada penggantinya menerusi acara menandatangani dokumen serah terima tugas, penyerahan dokumen secara simbolik dan tongkat kuasa sebagai lambang peralihan amanah kepimpinan tertinggi PDRM Sabah.
Bagi Jauteh, majlis berkenaan menjadi detik bermakna menandakan berakhirnya perjalanan kerjaya beliau dalam pasukan keselamatan negara selepas lebih tiga dekad menabur bakti.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau memainkan peranan dalam memperkukuh keselamatan, meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang serta memantapkan hubungan antara polis dengan masyarakat.
Majlis itu turut menyaksikan serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Sabah daripada Datin Nurhayatie Farhana Abdullah kepada Datin Ellen Ansie Anak Swithun Ansie, masing-masing isteri Jauteh dan Victor.
Acara berkenaan disaksikan isteri Timbalan Ketua Polis Negara, Datin Seri Selmiah Tuan Ibrahim yang juga Naib Pengerusi PERKEP Malaysia.
Majlis turut diserikan dengan perbarisan khas sempena pemakaian pangkat dan serah terima tugas sebagai penghormatan kepada kepimpinan terdahulu serta menyambut peneraju baharu PDRM Kontinjen Sabah.-DAKWAT RAKYAT POST
