SETIU: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 63, Kampung Pak Kancil, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.35 pagi, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah kereta jenis Honda City.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Zahril Asri Mohd Zain berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah kereta yang dipandu lelaki berusia 35 tahun bersama seorang penumpang lelaki berusia 32 tahun.
Katanya, kedua-dua mereka dalam perjalanan dari arah Kota Bharu menuju Kuala Terengganu, manakala mangsa pula dari arah bertentangan.
“Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Setiu di talian 09-6098222 atau menghubungi Inspektor Thaufiq.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.-DAKWAT RAKYAT POST
