KUCHING: Dua lelaki masing-masing berusia 20 dan 30 tahun ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dalam satu operasi khas di Jalan Tabuan, di sini, pada 6 November lalu.
Operasi Mabuk yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching bermula kira-kira jam 11.30 malam itu melibatkan seorang pegawai kanan bersama 11 anggota.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Anak Chabu berkata, operasi berkenaan menyaksikan seramai 45 individu dan 32 kenderaan diperiksa.
Menurutnya, sebanyak 17 keping saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi dijalankan.
Kedua-dua lelaki yang ditahan itu disyaki melakukan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Alexson menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya serta tidak memandu di bawah pengaruh alkohol.
Beliau mengingatkan perbuatan tersebut boleh membahayakan keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.-DAKWAT RAKYAT POST
