SANDAKAN: Penganjuran 16th Borneo Bird Festival (BBF) terus mencatat kejayaan apabila menarik ribuan peminat alam semula jadi, pemerhati burung, jurugambar, pelajar dan keluarga dari dalam serta luar negara ke Rainforest Discovery Centre (RDC), Sepilok, pada 7 hingga 8 November lalu.
Festival selama dua hari itu menghidupkan suasana hutan hujan Sepilok menerusi pelbagai aktiviti berkaitan burung, hidupan liar dan pemuliharaan biodiversiti.
Diiktiraf sebagai antara festival alam semula jadi terbesar di Malaysia, Borneo Bird Festival berkembang menjadi platform penting dalam mempromosikan aktiviti pemerhatian burung, pelancongan hidupan liar, pendidikan alam sekitar serta usaha pemuliharaan biodiversiti di Sabah.
Sepanjang 16 edisi penganjurannya, festival itu turut membantu mengukuhkan kedudukan Sabah, khususnya Sandakan dan Sepilok, sebagai antara destinasi utama pemerhatian burung di rantau ini.
Antara tarikan utama edisi kali ini ialah acara Bird Race yang mencatat penyertaan tertinggi sejak penganjuran sulungnya pada 2009, dengan penyertaan kira-kira 45 pasukan.
Peserta Bird Race terdiri daripada pemerhati burung dari Filipina, China, Taiwan, Singapura, Vietnam, New Zealand dan Malaysia, sekali gus memperlihatkan daya tarikan festival berkenaan dalam kalangan peminat burung dari pelbagai negara.
Selain Bird Race, festival turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran, sesi perkongsian pendidikan, aktiviti fotografi burung, Bird Run serta program interaktif untuk keluarga dan kanak-kanak.
Kira-kira 300 peserta turut menyertai Borneo Bird Run dengan menempuh laluan sejauh 12 kilometer di sekitar kawasan Sepilok.
Festival itu juga menampilkan beberapa jurugambar burung dan penulis terkenal dari rantau ini yang berkongsi pengalaman serta kepakaran mereka dalam bidang fotografi hidupan liar dan penceritaan alam semula jadi.
Perkongsian berkenaan bertujuan meningkatkan penghargaan masyarakat terhadap keindahan alam sekitar, selain menggalakkan sokongan terhadap usaha pemuliharaan.
Lebih daripada sekadar sambutan terhadap kepelbagaian spesies burung, Borneo Bird Festival turut membawa mesej penting mengenai keperluan melindungi habitat hutan dan ekosistem yang menjadi tempat bergantung hidupan liar serta manusia.
Burung memainkan peranan penting dalam keseimbangan ekosistem, termasuk menyebarkan benih, membantu proses pendebungaan, mengawal populasi serangga dan menjadi petunjuk kepada tahap kesihatan persekitaran.
Kepelbagaian serta kehadiran spesies burung juga mencerminkan keadaan ekosistem hutan, sekali gus menjadikan usaha pemuliharaan burung sebahagian penting dalam pengurusan hutan secara mampan.
Dalam pada itu, festival berkenaan turut mengetengahkan potensi ekonomi menerusi pelancongan berasaskan alam semula jadi, khususnya aktiviti pemerhatian burung yang mampu membuka peluang pendapatan kepada komuniti setempat.
Antara pihak yang mendapat manfaat termasuk pemandu pelancong tempatan, pengusaha inap desa, penyedia perkhidmatan pengangkutan, perniagaan makanan dan pengusaha perkhidmatan berkaitan pelancongan.
Penganjuran 16th Borneo Bird Festival itu dianjurkan bersama oleh Sandakan Borneo Bird Club (BoBC) dan Jabatan Perhutanan Sabah dengan sokongan Lembaga Pelancongan Sabah di bawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS).
Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja, rakan kerjasama, sukarelawan, peserta pameran dan pengunjung yang menyumbang kepada kejayaan festival berkenaan.
Kejayaan penganjuran edisi kali ini sekali lagi memperkukuh peranan Borneo Bird Festival dalam mempromosikan khazanah alam semula jadi Sabah, di samping meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan melindungi biodiversiti, menyokong mata pencarian komuniti tempatan dan memastikan kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang.-DAKWAT RAKYAT POST
