JOHOR BAHRU: Empat lelaki warga tempatan berusia antara 16 hingga 25 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian pembakaran mercun di atas jalan raya berhampiran lampu isyarat Taman Nesa, Skudai, yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Azrol Anuar bin Nor berkata, tangkapan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Johor Bahru Utara kira-kira jam 7.30 malam, 8 November lalu, di sekitar Skudai.
Menurutnya, beberapa rampasan turut dilakukan susulan penularan rakaman video kejadian berkenaan di media sosial pada tarikh sama.
Hasil semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala keputusan ujian saringan awal air kencing mereka juga didapati negatif.
Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Johor Bahru pada 9 November 2026 dan permohonan reman dibenarkan selama tiga hari bermula 9 hingga 11 November bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan kerana perbuatan gopoh atau cuai melibatkan bahan letupan sehingga membahayakan nyawa atau berisiko menyebabkan kecederaan kepada orang lain.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memberhentikan atau membiarkan kenderaan berhenti di jalan raya sehingga mendatangkan bahaya, halangan atau kesusahan yang tidak berpatutan kepada pengguna jalan raya lain.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda antara RM1,000 hingga RM5,000 atau penjara tidak kurang setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam perkembangan sama, polis kini giat mengesan tiga lagi individu yang dipercayai turut terbabit dalam kejadian berkenaan bagi membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline IPD Johor Bahru Utara menerusi talian 07-5563122.
Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.-DAKWAT RAKYAT POST
