SEPANG: Tiga lelaki berusia 16 hingga 26 tahun maut dipercayai akibat disambar petir ketika berteduh di bawah pokok di Bandar Baru Salak Tinggi, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku ketika ketiga-tiga mangsa sedang membaiki kereta sebelum berteduh di bawah pokok ketika hujan.
“Betul ada berlaku kejadian itu petang tadi, pihak kami akan kongsikan butiran lanjut kemudian.
“Ketika kejadian, mangsa sedang membaiki kereta dan berteduh di bawah pokok sebelum dipercayai disambar petir ketika hujan,” katanya.
Beliau berkata, semua mangsa sudah dibawa ke Hospital Serdang untuk tindakan lanjut.
Kejadian itu turut tular di media sosial menerusi beberapa rakaman video yang memaparkan tiga individu terbaring di bawah pokok dengan jasad masing-masing ditutup menggunakan kain batik.
Rakaman berkenaan dipercayai dimuat naik penduduk setempat dan pengguna jalan raya yang melalui kawasan kejadian.
Bagaimanapun, masa sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan secara rasmi.-DAKWAT RAKYAT POST
