KOTA KINABALU: Media perlu memainkan peranan lebih besar sebagai rakan strategik Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Skuad Antidadah dalam memperluas usaha pencegahan penyalahgunaan dadah, khususnya dalam kalangan generasi muda di Sabah.
Pengerusi Skuad Antidadah Sabah, Datuk Haji Mazlan @ Joehari Haji Manan berkata, kekuatan media dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat mampu membantu meningkatkan kesedaran mengenai bahaya dadah serta kepentingan pencegahan awal.
Menurutnya, kerjasama antara kepakaran AADK, penglibatan sukarelawan Skuad Antidadah dan keupayaan media menyampaikan maklumat secara meluas perlu dimanfaatkan bagi memastikan mesej antidadah sampai kepada semua lapisan masyarakat.
“Kita tidak mahu masyarakat hanya mengenali dadah apabila berlaku tangkapan, jenayah atau tragedi. Sebaliknya, kita mahu masyarakat memahami bahayanya lebih awal melalui pendidikan, kesedaran dan pencegahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis High Tea Skuad Antidadah Sabah dan AADK bersama rakan media, di sebuah hotel di sini.
Mazlan berkata, Skuad Antidadah Sabah perlu bergerak sebagai sebuah gerakan masyarakat yang aktif mendekati komuniti, bukannya hanya tertumpu kepada jawatan, pemakaian seragam atau penyertaan dalam program rasmi.
Katanya, pendekatan turun padang perlu diperluas ke kampung, sekolah, institusi pengajian tinggi, kawasan pedalaman dan komuniti anak muda menerusi aktiviti sukan, permotoran, kebudayaan, pendidikan serta keusahawanan.
“Kita perlu mendekati dunia anak muda, memahami minat mereka dan membimbing potensi mereka jika mahu menyelamatkan mereka daripada terjebak dengan dadah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan usaha memerangi penyalahgunaan dadah tidak seharusnya menyebabkan individu yang terjebak dalam penagihan dipinggirkan masyarakat, sebaliknya mereka perlu diberikan sokongan untuk menjalani rawatan dan pemulihan.
Menurutnya, peluang kedua perlu diberikan kepada bekas penagih untuk membina kehidupan baharu, termasuk melalui usaha integrasi semula dalam masyarakat.
Beliau turut menggalakkan media mengetengahkan lebih banyak kisah kejayaan individu yang berjaya pulih daripada ketagihan dadah sebagai inspirasi kepada mereka yang masih berdepan masalah sama.
Mazlan berkata, kerjasama antara Skuad Antidadah Sabah, AADK dan media juga perlu diperkukuh melalui perkongsian maklumat tepat, pertukaran pandangan serta teguran membina bagi meningkatkan keberkesanan program pencegahan.
“Kita mungkin tidak mampu menghapuskan ancaman dadah dalam satu hari. Tetapi jika usaha kita hari ini berjaya menyelamatkan walaupun seorang anak muda daripada terjebak dengan dadah, itu sudah merupakan satu kejayaan yang cukup besar,” katanya.
Beliau berkata, usaha membanteras ancaman dadah merupakan tanggungjawab bersama dan bukan hanya terletak di bahu agensi penguat kuasa atau organisasi tertentu demi melindungi keluarga serta masa depan generasi Sabah.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Pengarah AADK, Dato’ Ruslin Jusoh; Timbalan Ketua Pengarah AADK, Tuan Zainudin Abdullah; Pengarah AADK Sabah, Puan Elmariah Chung serta pengerusi-pengerusi daerah Skuad Antidadah -DAKWAT RAKYAT POST
