KANOWIT: Kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan struktur Rumah Panjang (Rh) Seliau, Sungai Tuah, di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Menurut kenyataan Facebook rasmi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.39 pagi.
Pasukan bomba dari BBP Kanowit dengan bantuan BBP Sibu Jaya digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 2.30 pagi selepas menempuh perjalanan sejauh kira-kira 46 kilometer.
Kebakaran membabitkan rumah panjang berstruktur kekal yang mempunyai 24 pintu dengan keseluruhan 134 penghuni terdiri daripada 52 lelaki dewasa, 57 perempuan dewasa dan 25 kanak-kanak.
Operasi pemadaman melibatkan 16 anggota bomba dengan kekuatan dua jentera LFRT dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis D-Max.
Operasi turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan SESCO.
Turut berada di lokasi ialah Ketua Zon 4 Sarawak, PgKB I Ts. Andy anak Alie; Ketua Balai, PPgB Mohammad Nasir bin Ahmad Awi dan Pegawai Operasi Balai, PBK I Abang Fadzil bin Abang Marzuki.
Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.-DAKWAT RAKYAT POST
