SEMPORNA: Tiga individu termasuk dua pelancong warga China cedera ringan selepas sebuah bot pelancong dilanggar dari arah belakang di perairan Pulau Singamata, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.12 pagi itu, dua pelancong terbabit masing-masing lelaki berusia 29 tahun dan wanita berusia 28 tahun, manakala seorang lagi mangsa ialah kru bot yang dilanggar.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Tan Hiap Wah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun yang bekerja sebagai pemandu bot sebuah syarikat pelancongan.
Menurutnya, sebelum kejadian, bot yang dikendalikan pengadu membawa seorang juragan, tiga kru dan lapan penumpang warga China dari Jeti Seafest menuju ke Pulau Bohey Dulang.
Bagaimanapun, bot berkenaan terpaksa berhenti di perairan Pulau Singamata selepas enjinnya tersangkut sampah.
Ketika kru sedang berusaha membuang sampah berkenaan, bot itu tiba-tiba dilanggar dari arah belakang oleh sebuah lagi bot pelancong yang dikendalikan seorang juragan bersama seorang kru.
Akibat perlanggaran itu, tiga individu mengalami kecederaan ringan, manakala bot pengadu mengalami kerosakan di bahagian belakang.
Bagaimanapun, juragan dan kru bot yang melanggar tidak mengalami sebarang kecederaan, selain bot berkenaan tidak mengalami kerosakan.
Tan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 280 Kanun Keseksaan kerana menjalankan perahu secara gopoh dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan melalui perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.
Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 280, pesalah boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Bagi Seksyen 337 pula, pesalah boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pemandu dan juragan bot supaya sentiasa berhati-hati serta mengutamakan keselamatan ketika mengendalikan bot bagi mengelakkan kejadian tidak diingini yang boleh mengakibatkan kecederaan atau mengancam keselamatan penumpang.-DAKWAT RAKYAT POST
