JOHOR BAHRU: Seramai 86 tahanan dari pelbagai negara dihantar pulang ke negara asal masing-masing oleh Depot Imigresen Pekan Nenas sepanjang minggu pertama November ini.
Menurut kenyataan di Facebook rasmi Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor, daripada jumlah itu, seramai 52 orang merupakan warga Indonesia, Pakistan (12), Bangladesh (11), Thailand (empat), India (tiga), manakala masing-masing dua orang warga Filipina dan Kemboja.
Kesemua tahanan berkenaan mempunyai pasport yang sah, manakala sebahagian daripada mereka turut dibekalkan dokumen perjalanan sementara atau Emergency Travel Document yang dikeluarkan pihak kedutaan negara masing-masing bagi membolehkan proses penghantaran pulang dilaksanakan.
Proses pemindahan itu dilakukan menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2 serta Terminal Feri Stulang Laut.
Menurut kenyataan itu, kos tiket penghantaran pulang ditanggung sepenuhnya menerusi simpanan peribadi tahanan, sumbangan ahli keluarga atau pihak kedutaan negara masing-masing bagi kes tertentu.
Semua tahanan yang dihantar pulang turut disenarai hitam dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia dan tidak dibenarkan memasuki semula negara ini bagi tempoh yang telah ditetapkan.
Dalam pada itu, pihak depot memaklumkan urusan penghantaran pulang tahanan, termasuk pembelian tiket, boleh dilakukan menerusi Kaunter Perkhidmatan yang disediakan di Depot Imigresen Pekan Nenas tanpa sebarang caj perkhidmatan.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan kepada Unit Rekod dan Pemindahan Depot Imigresen Pekan Nenas menerusi talian 07-6993540 atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) Jabatan Imigresen Malaysia.-DAKWAT RAKYAT POST
