KENINGAU: Seorang lelaki tempatan yang tular di media sosial susulan tindakannya kerap mengamuk dan mengganggu ketenteraman awam ditahan polis di hadapan sebuah kedai kopi di daerah ini, semalam.
Lelaki berusia 47 tahun itu ditahan sepasukan anggota Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Keningau kira-kira jam 3.30 petang selepas pihak polis menerima aduan orang awam berhubung perbuatannya yang didakwa mengganggu aktiviti harian masyarakat setempat.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, suspek ditahan di pekarangan hadapan Kedai Kopi Foo Nyen selepas tindakannya turut mendapat perhatian pengguna media sosial.
Menurutnya, suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Keningau sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau untuk pemeriksaan lanjut.
Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Suspek kini ditahan dan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Erwansyah berkata, polis sentiasa memantau sebarang kegiatan yang berpotensi mengganggu ketenteraman awam dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap individu yang menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.
Beliau turut menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengancam keselamatan serta kesejahteraan penduduk di daerah berkenaan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya segera menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengesan sebarang perlakuan mencurigakan atau kejadian yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.-DAKWAT RAKYAT POST
