KOTA KINABALU: Penyertaan lebih ramai golongan belia dalam industri agromakanan perlu dipertingkatkan bagi memastikan sektor pertanian, penternakan dan perikanan di Sabah terus berkembang sebagai pemacu ekonomi serta mampu mewujudkan peluang pekerjaan baharu.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS), Datuk Mohd Nazri Abdullah berkata, seruan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor supaya lebih ramai golongan muda menceburi industri berkenaan wajar diberikan perhatian serius oleh semua pihak.
Menurutnya, sektor agromakanan mempunyai potensi besar untuk menjadi sumber ekonomi baharu, khususnya kepada golongan belia yang berminat membina kerjaya atau mengusahakan perniagaan sendiri.
Katanya, persepsi bahawa bidang pertanian hanya bergantung kepada kaedah tradisional perlu diubah kerana industri itu mempunyai ruang luas untuk berkembang menerusi pendekatan moden, produktif dan berorientasikan perniagaan.
Beliau berkata, penglibatan golongan muda amat penting bagi membawa idea, inovasi serta pendekatan lebih segar dalam memperkukuh industri agromakanan negeri.
Nazri berkata demikian ketika mengetuai delegasi Ahli Jemaah Pengarah PPNS mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Beliau berkata, usaha menarik minat belia perlu disokong dengan pendedahan, latihan kemahiran serta peluang untuk mereka terbabit secara langsung dalam aktiviti pertanian, penternakan dan perikanan.
Selain itu, pembangunan industri berkenaan juga perlu memberi tumpuan kepada penghasilan produk bernilai tambah, termasuk aktiviti pemprosesan dan pemasaran bagi membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada pengusaha muda.
Menurutnya, transformasi sektor pertanian, penternakan dan perikanan daripada kaedah tradisional kepada sistem pengeluaran lebih moden, cekap serta berorientasikan pasaran penting bagi memastikan industri agromakanan Sabah kekal berdaya saing.
Beliau turut menyatakan sokongan PPNS terhadap hala tuju kerajaan negeri untuk memperkukuh sektor pertanian sebagai antara pemacu pertumbuhan ekonomi Sabah menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Dalam pada itu, Nazri berkata, kunjungan hormat berkenaan turut bertujuan memperkenalkan barisan kepimpinan PPNS kepada Ketua Menteri.
Pada kunjungan sama, PPNS turut memohon sokongan Ketua Menteri supaya ahli peladang berusia 70 tahun yang masih memegang saham dalam Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dibenarkan bertanding dan menyandang jawatan dalam PPK atau Pertubuhan Peladang Negeri (PPN).
Permohonan itu bertujuan membolehkan ahli peladang berpengalaman terus menyumbang kepakaran dan pengetahuan mereka dalam kepimpinan gerakan peladang.-DAKWAT RAKYAT POST
