TAWAU: Keunikan alam semula jadi, hutan tanaman serta kepelbagaian hidupan liar di Brumas berpotensi menjadikan kawasan itu antara destinasi ekopelancongan baharu yang menarik di Sabah.
Pengerusi Lembaga Pengarah Sabah Softwoods Berhad (SSB), Datuk Mohd Arsad Bistari, berkata potensi berkenaan boleh dibangunkan menerusi aktiviti pelancongan berasaskan alam semula jadi yang dilaksanakan secara terancang dan berperingkat.
Beliau berkata, inisiatif B’Nature yang diperkenalkan SSB menjadi platform untuk mengetengahkan keistimewaan Brumas, selain memberi peluang kepada pengunjung memahami kepentingan pemuliharaan alam sekitar dan hidupan liar.
“Kita mahu pengunjung datang ke Brumas bukan sekadar untuk berehat atau menikmati keindahan alam, tetapi juga mempelajari sesuatu mengenai alam sekitar dan kepentingan pemuliharaan hidupan liar.
“Pada masa sama, saya berharap pembangunan ekopelancongan ini dapat membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Brumas Wildlife Run 2026, baru-baru ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pegawai Eksekutif SSB, Datuk Dr. Haji Mohd Daud Tampokong.
Mohd Arsad berkata, Brumas mempunyai keistimewaan tersendiri yang mampu menarik minat pengunjung, khususnya mereka yang gemar meneroka alam semula jadi dan mengenali hidupan liar.
Katanya, penganjuran Brumas Wildlife Run bukan sekadar acara sukan, sebaliknya turut membawa mesej mengenai kepentingan memelihara alam sekitar dan melindungi hidupan liar yang menjadi khazanah negeri ini.
Beliau berkata, kawasan operasi SSB turut menjadi habitat Gajah Borneo, sekali gus memerlukan pendekatan pembangunan yang mengambil kira kelangsungan habitat serta laluan pergerakan haiwan berkenaan.
“Apabila kita membangunkan kawasan perladangan dan menjalankan aktiviti ekonomi, kita juga perlu memikirkan bagaimana habitat dan laluan pergerakan hidupan liar dapat terus dipelihara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menghargai usaha SSB melaksanakan pelbagai inisiatif pemuliharaan, termasuk penyediaan koridor hidupan liar bagi membolehkan haiwan bergerak antara kawasan habitat.
Mohd Arsad berkata, kejayaan sesebuah syarikat tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian perniagaan semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira tanggungjawab terhadap alam sekitar, pekerja dan masyarakat.
Sementara itu, Brumas Wildlife Run 2026 berjaya menarik penyertaan 1,701 peserta menerusi dua kategori, iaitu 7 kilometer (km) dan 21km.
Daripada jumlah itu, seramai 1,416 peserta menyertai kategori 7km yang dikhususkan kepada kakitangan SSB serta ahli keluarga, manakala 285 peserta mengambil bahagian dalam kategori 21km yang dibuka kepada orang ramai.
Menariknya, acara berkenaan turut disertai peserta dari Kenya dan pelbagai daerah di Sabah, sekali gus memperluas penyertaan larian itu ke peringkat antarabangsa.
Mohd Arsad berharap Brumas Wildlife Run dapat dijadikan acara tahunan bagi memperkenalkan kawasan berkenaan kepada lebih ramai pengunjung, selain meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemuliharaan hidupan liar.-DAKWAT RAKYAT POST
