TANAH MERAH: Polis berjaya menumpaskan kegiatan sindiket pengedaran dadah selepas merampas ganja dan bunga ganja bernilai RM279,902 dalam satu operasi di daerah ini, 8 November lalu.
Operasi kira-kira jam 3.30 petang itu dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah bersama Balai Polis Tanah Merah.
Ketua Polis Kelantan, CP Dato’ Haji Mohd Yusoff bin Mamat berkata, operasi berkenaan membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun yang ditemukan berhampiran sebuah kereta Honda yang terbabas di tepi jalan Kampung Batu 10, Batang Merbau.
Menurutnya, pemeriksaan di bawah papan pemuka bahagian pemandu kereta Honda FD itu menemukan satu paket plastik mengandungi 14 biji pil disyaki dadah jenis yaba dengan berat kasar 1.4 gram, bernilai RM154.
Hasil soal siasat terhadap suspek kemudian membawa polis ke sebuah kedai telekomunikasi di sekitar Tanah Merah yang dipercayai menjadi lokasi penyimpanan dadah.
Pemeriksaan di premis itu menemukan 13 bungkusan kotak, dengan 12 daripadanya mengandungi ketulan mampat disyaki ganja seberat 90.38 kilogram, bernilai RM271,140.
Satu lagi kotak mengandungi tumbuhan kering disyaki bunga ganja seberat 107.6 gram yang dianggarkan bernilai RM8,608.
Jumlah keseluruhan rampasan dadah termasuk pil yaba itu dianggarkan bernilai RM279,902 dan dipercayai mampu memberi kesan kepada sehingga 90,502 pengguna.
Mohd Yusoff berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak awal Ogos 2025 dengan modus operandi menggunakan perkhidmatan kurier bagi mengedarkan dadah untuk pasaran dalam dan luar Kelantan.
Suspek kini direman selama tujuh hari bermula 9 hingga 15 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, manakala semakan rekod mendapati lelaki itu mempunyai lima rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.
Jika disabitkan kesalahan mengikut peruntukan berkenaan, pesalah boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
Beliau berkata, kejayaan operasi itu adalah hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam dalam membantu polis membanteras kegiatan pengedaran dadah.
PDRM Kelantan turut menegaskan komitmen untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan pengedaran, pemilikan atau melindungi aktiviti dadah.
Orang ramai juga diseru supaya terus bekerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada pihak polis berkaitan sebarang kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah bagi melindungi masyarakat serta generasi akan datang.-DAKWAT RAKYAT POST
