KOTA KINABALU: Seramai 36 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan seorang majikan ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang, pada 9 November lalu.
Operasi yang dijalankan menerusi Ops Belanja, Ops Kutip, Ops Sapu dan Ops Gegar itu bermula jam 2 petang hingga 11.30 malam, membabitkan seramai 19 pegawai imigresen.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi berkenaan dilaksanakan di enam lokasi tumpuan yang dikenal pasti, termasuk pusat beli-belah, pusat spa, premis perniagaan dan bilik sewa.
Menurutnya, seramai 312 individu terdiri daripada warga tempatan dan warga asing diperiksa sepanjang operasi berkenaan.
“Hasil pemeriksaan, seramai 36 PATI dan seorang majikan ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen. Selain itu, satu Borang IMM.29 iaitu Saman Kepada Saksi turut dikeluarkan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Daripada jumlah tangkapan PATI itu, seramai 34 merupakan warga Filipina, seorang warga Pakistan dan seorang warga Indonesia.
Kesemua mereka dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri atau pas yang sah.
Semua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Kota Kinabalu bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut.
JIM Sabah menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat di seluruh daerah tanpa mengira lokasi bagi memastikan undang-undang imigresen dipatuhi serta keselamatan negeri terus terpelihara.-DAKWAT RAKYAT POST
