KUALA LUMPUR: Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Aman menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia dan Brunei, Michael Wehi Mailetonga Walsh atau lebih dikenali sebagai Mike Walsh, di Sabah Annex.
Menurut hantaran di Facebook rasmi Tun Musa Aman, pertemuan itu penting dalam memperkukuh hubungan diplomatik serta kerjasama dua hala antara Sabah dengan New Zealand, khususnya melibatkan sektor ekonomi, perdagangan, pelaburan, pendidikan dan pelancongan.
Kunjungan berkenaan turut menjadi ruang untuk kedua-dua pihak mempererat hubungan persahabatan yang telah terjalin sekian lama, selain membincangkan potensi kerjasama dalam pelbagai bidang.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai peluang baharu yang boleh diterokai bagi memperluas kerjasama serta memberikan manfaat bersama.
Hubungan yang terus diperkukuh itu diharap dapat membuka lebih banyak ruang kerjasama antara Sabah dengan New Zealand pada masa hadapan. – DAKWAT RAKYAT POST
