SEMPORNA: Persatuan Pengusaha Syarikat Pelancongan Bumiputera Tempatan Semporna (PUSPABUMI) menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar insiden pelanggaran bot di perairan daerah ini pada 9 November lalu.
Presidennya, Madzafar Madzahala berkata, tindakan sewajarnya perlu diambil berdasarkan hasil siasatan bagi memastikan aspek keselamatan pengangkutan laut sentiasa diutamakan.
“Kejadian itu begitu serius memandangkan Semporna antara destinasi pelancongan marin utama di Sabah yang menerima kehadiran pelancong tempatan dan antarabangsa.
“PUSPABUMI ingin menegaskan bahawa aspek keselamatan pengangkutan laut antara perkara yang tidak boleh dikompromi dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya selepas selesai siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Madzafar turut menyeru semua pengusaha dan pengendali bot supaya mematuhi prosedur keselamatan, memastikan bot dalam keadaan baik termasuk mempunyai kelengkapan keselamatan mencukupi.
“Penguatkuasaan, pemantauan dan kesedaran keselamatan maritim juga perlu diperkasakan melalui kerjasama erat antara agensi kerajaan dengan pemain industri pelancongan.
“Kita tidak mahu insiden seumpama ini menjejaskan keyakinan pelancong terhadap industri pelancongan Semporna yang selama ini menjadi sumber ekonomi dan mata pencarian masyarakat setempat,” katanya.
Beliau turut merakamkan simpati kepada semua pihak yang terlibat dan berharap urusan rawatan serta pemulihan mereka dipermudahkan.
Terdahulu, Dakwat Rakyat Post melaporkan dua pelancong warga China, masing-masing lelaki berusia 29 tahun dan wanita berusia 28 tahun, serta seorang kru mengalami kecederaan ringan selepas bot dinaiki mereka dirempuh dari belakang oleh sebuah lagi bot pelancong, di perairan Pulau Singamata, di sini, Isnin lalu.
Dalam kejadian pada jam 11.12 pagi itu, bot yang membawa lapan pelancong warga China bersama seorang juragan dan tiga kru itu dalam perjalanan dari Jeti Seafest menuju ke Pulau Bohey Dulang sebelum terpaksa berhenti akibat masalah enjin yang tersangkut sampah.
Ketika kru berusaha membuang sampah berkenaan, sebuah lagi bot merempuh bahagian belakang bot itu.-DAKWAT RAKYAT POST
