KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM15 juta sebulan bagi memastikan harga minyak masak kemasan botol tidak meningkat susulan kenaikan harga minyak sawit mentah (CPO) di pasaran global.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 6 November lalu menerusi kelulusan pemberian insentif khas kepada pengilang minyak masak kemasan botol.
Menurutnya, insentif berkenaan membolehkan kerajaan mengekalkan harga siling minyak masak berkapasiti satu, dua, tiga dan lima kilogram walaupun pengilang berdepan tekanan kos pengeluaran.
Katanya, kenaikan harga CPO dunia menyebabkan industri berkenaan tertekan sehingga terdapat pengilang yang mengambil keputusan menghentikan pengeluaran minyak masak kemasan botol.
“Kerajaan tidak boleh membenarkan pada masa sekarang ini minyak kemasan botol berlaku pergerakan harga.
“Kita akan meneruskan mekanisme ini dengan mengekalkan harga siling bagi minyak masak kemasan botol satu, dua, tiga dan lima kilogram, tetapi pada masa sama kerajaan memberikan insentif khas kepada pengilang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Kali Ke-22 di sini, hari ini.
Hadir sama Presiden Presma, Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak.
Armizan berkata, tanpa pelaksanaan mekanisme berkenaan, harga minyak masak kemasan botol lima kilogram berpotensi meningkat sehingga RM34 berdasarkan harga CPO pada Oktober 2026 yang mencecah RM4,400 satu tan.
Bagaimanapun, menerusi intervensi kerajaan itu, harga minyak masak lima kilogram dapat dikekalkan pada paras tidak melebihi harga siling RM30.90.
“Keputusan ini tidak datang begitu saja kerana ia melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan. Kita menyasarkan sepanjang tempoh mekanisme kawalan harga minyak masak kemasan botol ini dilaksanakan, kerajaan akan menanggung implikasi kewangan insentif khas kepada pengilang sebanyak RM15 juta sebulan,” katanya.
Tambahnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang menyelaras pelaksanaan mekanisme itu bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Beliau berkata, langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan menangani tekanan kos sara hidup akibat konflik geopolitik yang turut mencetuskan perubahan harga serta gangguan bekalan di peringkat global.-DAKWAT RAKYAT POST
