RANAU: Seramai 71 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menerusi dua operasi penguatkuasaan yang dijalankan serentak di Ranau dan Sandakan, pada 11 November.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi di Ranau dilaksanakan susulan aduan orang awam berhubung kehadiran warga asing yang mencurigakan di beberapa lokasi.
Menurutnya, seramai 14 pegawai Imigresen Ranau dengan bantuan anggota RELA Ranau menjalankan pemeriksaan di tiga lokasi dan memeriksa 24 individu.
Hasil operasi itu, seramai 21 warga Filipina ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan imigresen.
Sementara itu, di Sandakan, operasi penguatkuasaan menerusi Ops Sapu dilaksanakan seawal jam 1.35 pagi dengan kekuatan 15 pegawai penguat kuasa.
Operasi berkenaan menyasarkan lima kawasan penempatan setinggan, iaitu Kampung Ulu Dusun Batu 30, Jalan Labuk; Kampung Bimbim Batu 16; Kampung Gum-Gum Kuari 7 dan Kuari 2; serta Flat Taman Sejati Batu 7, Jalan Airport.
Dalam operasi itu, seramai 83 individu diperiksa dan 50 PATI, termasuk 25 kanak-kanak, ditahan.
Secara keseluruhan, kedua-dua operasi menyaksikan seramai 107 individu diperiksa dan 71 PATI ditahan, terdiri daripada 68 warga Filipina serta tiga warga Indonesia.
Kesemua individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 sebelum dibawa untuk tindakan dan siasatan lanjut.
JIM Sabah turut mengingatkan orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran PATI melalui saluran rasmi jabatan, termasuk Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) menerusi https://spab.gov.my atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) di https://eapp.imi.gov.my.
Kerjasama masyarakat amat diperlukan bagi membantu usaha penguatkuasaan serta menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.-DAKWAT RAKYAT POST
