BATU PAHAT: Seorang lelaki warga emas berusia 75 tahun mengalami kerugian sebanyak RM325,951.33 selepas diperdaya sindiket penipuan telefon atau phone scam yang menyamar sebagai pihak Bank Negara Malaysia (BNM).
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Shahrulanuar Mushaddat bin Abdullah Sani berkata, mangsa pada awal Mei lalu dihubungi seorang wanita tidak dikenali yang mendakwa akaun bank miliknya telah dibekukan oleh BNM.
Menurutnya, suspek kemudian mengarahkan mangsa memindahkan wang ke akaun yang kononnya milik BNM bagi tujuan mencairkan wang berkenaan.
Suspek turut menjanjikan wang mangsa akan dipulangkan selepas urusan selesai, selain menakut-nakutkannya dengan mendakwa pihak BNM akan mencarinya sekiranya enggan memberikan kerjasama.
Disebabkan ketakutan, mangsa akur dengan arahan diberikan dan membuat pemindahan wang secara berperingkat ke lapan akaun bank berbeza sepanjang tempoh Mei hingga November 2026.
Keseluruhan wang yang dipindahkan mencecah RM325,951.33.
Bagaimanapun, selepas transaksi terakhir dilakukan, mangsa mendapati nombor telefonnya telah disekat dan gagal menghubungi suspek sebelum menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai panggilan daripada individu tidak dikenali yang membuat dakwaan kononnya mewakili jabatan atau agensi kerajaan.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya membuat pengesahan terus dengan jabatan atau agensi berkaitan sebelum mengambil sebarang tindakan, khususnya melibatkan pemindahan wang.
Maklumat terkini berkaitan jenayah komersil boleh diperoleh menerusi laman Facebook Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) PDRM di @jsjkpdrm dan @cybercrimealertrmp.-DAKWAT RAKYAT POST
