KOTA KINABALU: Pusat Kraftangan Sabah (PKS) melaksanakan sebanyak 1,066 program dengan peruntukan berjumlah RM47.2 juta sejak 2011 hingga 2026, sekali gus memberi manfaat kepada 22,038 peserta dalam usaha memperkasa industri kraf dan ekonomi masyarakat setempat.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata pencapaian itu membuktikan pembangunan industri kraf bukan sahaja berperanan memelihara khazanah warisan budaya, malah turut membuka peluang ekonomi kepada rakyat.
Beliau berkata, bagi tahun ini sahaja, sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan menerusi 29 program yang melibatkan 200 peserta kumpulan sasar.
Menurutnya, Sabah mempunyai khazanah budaya yang kaya, termasuk seni tenunan, batik, anyaman buluh dan rotan serta penghasilan manik yang perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda, selari dengan perkembangan semasa.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena Majlis Apresiasi dan Penutupan Program Khas Anak Negeri (PKAN) Sabah Sesi 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Haji Mohd Arifin bin Datuk Haji Mohd Arif.
Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata, pembangunan modal insan perlu bergerak seiring dengan perubahan teknologi, landskap pekerjaan dan keperluan industri bagi memastikan anak-anak Sabah memiliki ilmu serta kemahiran yang relevan.
Katanya, pendidikan, latihan, bimbingan, keusahawanan dan akses kepada pasaran perlu saling melengkapi supaya kemahiran yang diperoleh dapat diterjemahkan kepada penghasilan produk, perniagaan, pendapatan dan pembangunan ekonomi masyarakat.
Beliau turut menyifatkan PKAN sebagai antara platform yang memberi ruang kepada rakyat membina keupayaan menerusi kemahiran dan pengalaman, termasuk dalam bidang kraf serta keusahawanan.
Dalam perkembangan berkaitan, penyertaan batik dan cetakan digital PKS dalam peragaan fesyen KPDN Presents: Fashion Forward Batik Malaysia sempena Kuala Lumpur Fashion Week 2026 membuktikan hasil kreativiti dan kerja tangan Sabah mempunyai potensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih luas.
Usaha memperkukuh industri kraf turut dipertingkatkan menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan Sabah melalui PKS dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).
Selain itu, penyerahan Letter of Intention (LOI) kepada Yayasan Sabah oleh Politeknik Kota Kinabalu, All-Party Parliamentary Group Malaysia on Sustainable Development Goals (APPGM-SDG) dan Sugee Group Sdn Bhd turut membuka ruang kerjasama dalam pembangunan industri berkenaan.
Hajiji turut mengalu-alukan penglibatan institusi pendidikan seperti Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF) dalam pelaksanaan PKAN kerana pembangunan modal insan perlu merangkumi kemahiran tradisional, kebolehpasaran, teknologi dan keusahawanan.
Bagi tempoh 2016 hingga 2026, KTYS telah melaksanakan 93 program dengan peruntukan RM15.01 juta yang melibatkan 1,936 peserta.
Antara program yang dilaksanakan menerusi PKAN ialah Program Gerak Cemerlang SPM (GeCerSPM), yang memberi tumpuan kepada peningkatan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran kritikal Matematik dan Sains.
Program membabitkan tiga sekolah dengan kuota 200 pelajar itu menunjukkan peningkatan kadar kelulusan daripada 35 peratus kepada 98 peratus bagi peperiksaan SPM 2025.
Susulan pencapaian berkenaan, penyertaan program diperluaskan kepada 300 pelajar daripada enam sekolah pada tahun ini.
Selain itu, Program Gerak Ekonomi Makanan Inovasi Laut (GEMILAU) turut dilaksanakan bagi memperkasa ekonomi golongan rentan menerusi kemahiran pemprosesan makanan berasaskan hasil laut.
Daripada 89 peserta program itu, seramai 43 orang berjaya meningkatkan pendapatan masing-masing.
Sementara itu, UCSF menerusi PKAN Sabah 2026 melaksanakan program Eksplorasi dan Pemerkasaan Teknologi, Kesenian dan Keusahawanan (ExPERTISE) dengan peruntukan RM750,000 bagi menjayakan 11 program yang melibatkan 314 peserta dalam kalangan belia dan komuniti Anak Negeri Sabah.
Antara inisiatif dilaksanakan ialah Sijil Pembantu Perawatan Pesakit (PCA) dengan kerjasama Kolej Universiti Institut Jantung Negara (IJNUC), yang menyaksikan 13 pelajar mendapat penempatan latihan industri selama tiga bulan di Institut Jantung Negara (IJN) dan klinik swasta di Sabah.
UCSF turut melaksanakan program BRIDGE (Building Resources, Inclusivity, Development and Growth in Communities) menerusi sembilan program berteraskan seni dan kraf, pelancongan dan hospitaliti, kecerdasan buatan (AI), sains dan teknologi serta pertanian.
Program jangkauan itu melibatkan 292 peserta dari Sipitang, Semporna, Pulau Banggi, Keningau, Ranau, Kota Belud, Kota Marudu dan Kota Kinabatangan.
Bagi tempoh 2015 hingga 2025, UCSF turut melaksanakan 85 program dengan perbelanjaan berjumlah RM11.7 juta yang memberi manfaat kepada 1,842 peserta.
Hajiji memberi jaminan Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh usaha pembangunan yang berpaksikan rakyat, selain memastikan peluang meningkatkan kemahiran, ekonomi dan kesejahteraan masyarakat Sabah terus diperluaskan.-DAKWAT RAKYAT POST
