TUARAN: Kerajaan Negeri Sabah yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya memperkasa institusi Mahkamah Anak Negeri (MAN) menerusi kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Anak Negeri 2026 oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Julai lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, kelulusan itu merupakan detik bersejarah yang menamatkan penantian panjang kerajaan negeri untuk memartabatkan serta memperkukuh sistem perundangan adat anak negeri.
Beliau berkata, pembaharuan berkenaan bertujuan memodenkan sistem perundangan tradisional Bumiputera supaya kekal berkesan, relevan dan berwibawa mengikut perkembangan semasa.
Menurutnya, enakmen baharu itu turut memperjelas dan menyusun bidang kuasa MAN, sekali gus memastikan undang-undang adat tempatan terus dipelihara serta dimartabatkan.
Antara pembaharuan utama ialah penyusunan semula struktur kehakiman yang lebih mantap dan profesional merangkumi Mahkamah Daerah Anak Negeri, Mahkamah Tinggi Anak Negeri serta Mahkamah Rayuan Anak Negeri.
Selain itu, enakmen berkenaan turut memperuntukkan pewujudan jawatan Ketua Hakim dan Hakim Besar Mahkamah Anak Negeri, selain jawatan Peguam Mahkamah Anak Negeri serta Pendaftar.
Hajiji berkata, pelantikan hakim juga dirancang berasaskan merit bagi memastikan integriti dan kewibawaan institusi kehakiman berkenaan terus terpelihara.
Katanya, pembaharuan itu turut melibatkan pemisahan fungsi pentadbiran dan adat daripada fungsi penghakiman, namun peranan tradisi pegawai adat seperti Ketua Daerah dan Ketua Anak Negeri tetap dikekalkan.
Dalam usaha menyokong transformasi berkenaan, kerajaan negeri turut memperuntukkan dana bagi menaik taraf kemudahan fizikal, termasuk cadangan menaik taraf Kompleks Kehakiman Anak Negeri Sabah serta membina mahkamah baharu di beberapa daerah.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Pemuliharaan Sungai Tuaran dan Tapak Letak Kenderaan Baharu Pekan Tuaran, di sini.
Menurut Hajiji, pemerkasaan MAN bukan sahaja meningkatkan imej institusi adat, malah menjadi langkah penting dalam meletakkan undang-undang adat anak negeri pada kedudukan lebih dihormati dalam sistem perundangan negara.
Beliau menegaskan agenda pembangunan kerajaan negeri bukan hanya tertumpu kepada pembangunan fizikal dan material, tetapi turut merangkumi usaha memelihara jati diri, khazanah budaya serta institusi perundangan adat masyarakat Sabah.
Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji berkata, Projek Pemuliharaan Sungai Tuaran dan penyediaan tapak letak kenderaan baharu Pekan Tuaran mencerminkan komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan infrastruktur serta kelestarian alam sekitar.
Katanya, Sungai Tuaran mempunyai nilai penting dari sudut alam sekitar, selain menjadi sebahagian daripada kehidupan dan sejarah masyarakat setempat.
Beliau berkata, cabaran perubahan iklim dan hakisan tebing memerlukan tindakan proaktif bagi memastikan sungai berkenaan terus terpelihara, bersih dan bebas daripada pencemaran.
Hajiji turut menjelaskan reka bentuk jambatan dalam projek berkenaan diinspirasikan daripada bubu ikan tradisional yang sinonim dengan kehidupan masyarakat tempatan.
Jambatan Tamu Tuaran bukan sahaja menjadi mercu tanda baharu pekan itu, malah menghubungkan komuniti di seberang sungai dengan kawasan Tamu Tuaran serta memudahkan pergerakan penduduk, khususnya pejalan kaki.
Mengenai tapak letak kenderaan baharu, beliau berkata kemudahan itu disediakan susulan perkembangan pesat aktiviti ekonomi dan domestik di Pekan Tuaran yang sering berdepan kesesakan, terutama pada hari tamu dan hujung minggu.
Dalam pada itu, Hajiji mahu setiap daerah di Sabah membangunkan serta mempromosikan produk dan pengalaman pelancongan yang mempunyai identiti tersendiri sebagai persediaan menyambut Tahun Melawat Sabah 2027.
Katanya, Tuaran mempunyai potensi pelancongan menerusi pantai, pusat rekreasi, khazanah budaya dan alam sekitar, selain aktiviti ekonomi, pertanian serta perikanan yang boleh terus dikembangkan.-DAKWAT RAKYAT POST
