LAHAD DATU: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Alza dalam kemalangan jalan raya di Batu 12, Jalan Lahad Datu–Sandakan, malam tadi.
Mangsa yang dikenali sebagai Sahak disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, PKPgB Sumsoa bin Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 8.46 malam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, jentera bomba tiba pada jam 9.15 malam dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Perodua Alza dengan sebuah motosikal jenis Yamaha Y16 yang ditunggang mangsa.
“Enam individu yang berada di dalam kereta berkenaan berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan ambulans KKM.
“Kesemua mangsa yang cedera kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, mangsa yang meninggal dunia kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi membabitkan lapan anggota BBP Lahad Datu dengan bantuan agensi lain termasuk empat anggota polis dan tiga anggota KKM itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.02 malam selepas pihak bomba memastikan keadaan di lokasi kejadian selamat.
Kesemua enam mangsa yang berada di dalam kereta dilaporkan mengalami kecederaan, manakala penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.-DAKWAT RAKYAT POST
