KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden serangan oleh seorang warga asing terhadap anggota polis yang sedang menjalankan tugas di Kepong, malam tadi.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan tegas berlandaskan undang-undang perlu diambil terhadap individu yang bertanggungjawab dalam kejadian berkenaan.
Beliau menyifatkan insiden itu sebagai sesuatu yang amat dikesali dan menegaskan perbuatan ganas terhadap anggota penguat kuasa yang sedang melaksanakan amanah menjaga keselamatan serta ketenteraman awam tidak boleh diterima sama sekali.
Menurutnya, KDN memandang serius kejadian itu dan menegaskan bahawa sebarang ketidakpuasan hati tidak boleh dijadikan alasan untuk bertindak ganas atau menghalang tugas pihak berkuasa.
Beliau turut mengingatkan seluruh masyarakat, termasuk warga asing yang berada di negara ini, supaya sentiasa menghormati undang-undang Malaysia serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
Saifuddin berkata, keselamatan rakyat dan anggota penguat kuasa merupakan keutamaan yang tidak boleh dikompromi, manakala tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan tanpa mengira kewarganegaraan atau latar belakang individu.
Dalam pada itu, beliau bersama seluruh warga KDN mendoakan agar anggota polis yang tercedera diberikan kesembuhan segera.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga PDRM atas keberanian dan dedikasi dalam melaksanakan tanggungjawab demi memastikan keselamatan negara terus terpelihara.-DAKWAT RAKYAT POST
