MIRI: Seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes kecurian rim motosikal di kawasan Permyjaya Tudan, di sini, pada 10 November lalu.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee bin Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira jam 7.30 pagi selepas pengadu mendapati rim motosikal bahagian depan dan belakang milik anaknya yang diletakkan di hadapan rumah telah hilang.
Menurutnya, bertindak atas maklumat dan hasil risikan, sepasukan anggota polis daripada Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) bersama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Miri berjaya menahan suspek kira-kira jam 11.20 malam pada hari sama.
Operasi tangkapan itu diketuai Ketua Polis Balai Miri, ASP Goldy Anak Jangan, di Jalan Sealine, Kampung Senadin, Lutong.
Dalam tangkapan berkenaan, polis turut merampas rim motosikal bahagian depan dan belakang yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Mohd Farhan berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memainkan peranan penting dalam membantu polis menjalankan siasatan, mengenal pasti serta mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian jenayah.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah bagi membantu polis membanteras aktiviti berkenaan.
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri menerusi talian 085-433400 atau dengan mengunjungi mana-mana balai polis berhampiran.-DAKWAT RAKYAT POST
