LANGKAWI: Seorang kru berjaya diselamatkan manakala tiga lagi masih hilang selepas sebuah vesel nelayan bernombor pendaftaran KF 5420 (B) dilaporkan tenggelam bersama empat kru di perairan Kuala Teriang, Langkawi, Kedah.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis meneruskan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan tiga mangsa yang masih belum ditemukan.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi menerima maklumat awal kejadian daripada Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kedah kira-kira jam 4.35 petang, 10 November lalu.
Menurutnya, laporan dibuat oleh pemilik vesel selepas gagal menghubungi bot berkenaan.
Berdasarkan maklumat awal, vesel itu kali terakhir dapat dihubungi pada 8 November lalu, kira-kira jam 11.33 malam ketika berada sekitar lapan batu nautika ke barat Pulau Burau, Langkawi.
Dalam kejadian itu, seorang kru dikenali sebagai Basri bin Moh Nor, 47, berjaya diselamatkan oleh sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) yang berada berhampiran lokasi kejadian.
Mangsa kemudian dipindahkan ke aset Bot Penyelamat 5 Maritim Malaysia yang sedang menjalankan operasi di sektor berkenaan.
Bagaimanapun, tiga lagi kru termasuk tekong vesel, Kee Swee Kiat, 51, masih belum ditemukan.
Operasi CARILAMAT disambung semula pada jam 7.30 pagi, 11 November dengan penglibatan aset Maritim Malaysia iaitu KM Sugut dan Bot Kilat 6 serta Pasukan Polis Marin (PPM) menerusi aset PLC 5.
Pencarian dilaksanakan berdasarkan janaan Sistem SAROPS dengan kawasan operasi dibahagikan kepada tiga sektor bagi memastikan liputan pencarian lebih sistematik dan menyeluruh.
Pusat Kawalan Hadapan (PHC) turut ditubuhkan di MRSC Langkawi bagi menyelaras pergerakan aset, penugasan anggota serta perkembangan operasi secara berterusan.
Maritim Malaysia terus mempergiat usaha pencarian menerusi penyelarasan bersama agensi sahabat dan komuniti maritim setempat bagi meningkatkan keberkesanan operasi serta memperluas kawasan pengesanan mangsa.
Orang ramai dan komuniti maritim yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis menerusi talian 04-966 2750 atau talian kecemasan 999 bagi membantu operasi pencarian.-DAKWAT RAKYAT POST
