MERADONG: Seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun ditahan selepas didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine dalam operasi bersepadu yang dijalankan di daerah Bintangor, pada 11 November lalu.
Ketua Polis Daerah Meradong, DSP Tansli Mering berkata, tangkapan dilakukan sepasukan anggota polis daripada Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong kira-kira jam 8.30 malam ketika menjalankan Ops Bersepadu.
Menurutnya, suspek yang disyaki terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah itu kemudian dibawa ke IPD Meradong untuk tindakan lanjut.
Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Meradong mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Semakan rekod lampau turut mendapati suspek mempunyai satu rekod berkaitan kesalahan dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun, jika sabit kesalahan.
Tansli berkata, pihaknya memandang serius kegiatan penyalahgunaan dadah dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti berkenaan.
Beliau turut menyeru masyarakat supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah di daerah Meradong bagi membantu polis membanteras gejala itu.
Maklumat boleh disalurkan kepada Balai Polis Bintangor menerusi talian 084-693222.-DAKWAT RAKYAT POST
