KUALA LUMPUR: Semua anggota polis yang bertugas di barisan hadapan di Kuala Lumpur diingatkan supaya tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk menggunakan senjata api apabila berdepan ancaman keselamatan ketika menjalankan tugas.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, setiap anggota perlu sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi dan bertindak pantas tanpa membiarkan sebarang keraguan menjejaskan keupayaan mereka menangani ancaman.
Katanya, arahan itu turut bertujuan mengelakkan kejadian seperti yang berlaku di Gombak berulang terhadap anggota polis, khususnya mereka yang menjalankan tugas di lapangan.
“Jika ada apa-apa halangan, tembak. Ada apa-apa keraguan, tembak. Ada rasa kerisauan atau ancaman, tembak. Jangan tunggu.
“Saranan saya kepada semua elemen (polis Kuala Lumpur) yang ada di lapangan, saya tidak mahu kejadian seperti yang berlaku di Gombak, berlaku terhadap anggota saya yang bertugas di ‘barisan hadapan’ (frontliner),” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi rakaman audio yang disiarkan di laman rasmi Facebook Polis Kuala Lumpur.
Fadil berkata, setiap anggota juga perlu mempunyai persediaan rapi, perancangan mantap dan keupayaan membuat penilaian situasi dengan sewajarnya sebelum mengambil tindakan.
Katanya, sikap sambil lewa tidak boleh diamalkan dalam pasukan keselamatan kerana setiap anggota perlu memahami tanggungjawab dan tindakan yang harus diambil ketika berdepan situasi berisiko.
“Mesti sedia, tahu bertindak dan jangan ragu-ragu menghadapi ancaman. Polis tidak boleh bergerak lembab dan tidak boleh bertindak tanpa persediaan,” jelasnya.
Beliau turut menekankan tiga teras utama kepada seluruh anggota yang menjalankan penugasan di lapangan iaitu sentiasa bersiap siaga, mahir dalam kaedah menangani dan bertindak balas terhadap situasi genting serta tidak mengabaikan keselamatan diri ketika menjalankan operasi.
Tegasnya, penekanan terhadap ketiga-tiga aspek berkenaan penting bagi memastikan anggota polis dapat melaksanakan tugas dengan lebih berkesan, khususnya dalam menghadapi pelbagai bentuk ancaman keselamatan.
Beliau berkata, arahan tegas itu juga merupakan langkah penting bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di ibu negara terus terpelihara daripada ancaman jenayah mahupun anasir luar.
Semalam, seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 26 tahun putus pergelangan tangan kanan selepas ditetak lelaki warga asing bersenjatakan dua bilah parang dalam kejadian di sebuah premis kediaman di Desa Aman Puri, Kepong, Gombak.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, anggota Cawangan Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak berkenaan turut cedera di kepala dan badan sebelum dikejarkan ke hospital, manakala suspek meninggal dunia selepas ditembak polis ketika cuba menyerang anggota yang mahu menahannya berhampiran lokasi kejadian.-DAKWAT RAKYAT POST
