BEAUFORT: Tiga lelaki ditahan dalam tiga kes berasingan selepas didapati positif dadah menerusi ujian saringan awal air kencing dalam operasi penguatkuasaan di daerah ini, pada 10 November lalu.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin bin Piuh berkata, ketiga-tiga tangkapan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort di kawasan Lumadan.
Menurutnya, tangkapan pertama dilakukan kira-kira jam 6.30 petang membabitkan seorang lelaki warga asing berusia 27 tahun yang didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Tangkapan kedua pula dilakukan kira-kira jam 6.40 petang terhadap seorang lagi lelaki warga asing berusia 29 tahun yang turut didapati positif methamphetamine.
Manakala tangkapan ketiga dilakukan kira-kira jam 6.50 petang membabitkan seorang lelaki berusia 25 tahun yang didapati positif methamphetamine dan amphetamine.
Ketiga-tiga lelaki berkenaan merupakan pekerja di sebuah ladang kelapa sawit di kawasan Lumadan.
Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Champin berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah menerusi tindakan penguatkuasaan secara berterusan.
Beliau turut menegaskan komitmen polis dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat setempat terus terpelihara.-DAKWAT RAKYAT POST
