ISKANDAR PUTERI: Seorang penunggang motosikal lelaki berusia 25 tahun maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 17.6 Lebuh Raya Linkedua arah selatan, di sini, pada 11 November.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Radin Ramlan bin Radin Taha berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.50 pagi.
Menurutnya, kemalangan dipercayai bermula apabila sebuah kereta berhenti di lorong kecemasan selepas mengalami kerosakan teknikal.
Sebuah motosikal yang melalui laluan sama kemudian gagal mengelak sebelum melanggar bahagian belakang sebelah kanan kereta berkenaan.
Impak pelanggaran menyebabkan penunggang motosikal itu terjatuh ke lorong kiri sebelum dilanggar sebuah lagi motosikal yang datang dari arah sama dan tidak sempat mengelak.
Mangsa, seorang lelaki warga Malaysia berusia 25 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan akibat kecederaan di bahagian kepala.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk proses bedah siasat.
Sementara itu, kedua-dua penunggang motosikal yang terlibat dilaporkan tidak mengalami kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.
Orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Kaunter Aduan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Iskandar Puteri menerusi talian 07-5101322 bagi membantu siasatan.-DAKWAT RAKYAT POST
