KUALA LUMPUR: Gangguan perkhidmatan Microsoft 365 yang berpotensi menjejaskan pengguna di seluruh dunia termasuk Malaysia disahkan berpunca daripada masalah teknikal dan bukannya serangan siber.
Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, gangguan itu membabitkan beberapa aplikasi utama termasuk Outlook, Teams, SharePoint, Microsoft 365 Copilot dan Defender XDR.
“Berdasarkan maklumat semasa, gangguan ini lebih cenderung berpunca daripada isu teknikal atau infrastruktur dan bukan serangan siber,” menurut hantaran itu.
Sehubungan itu, Pusat Penyelarasan dan Kawalan Siber Negara (NC4) di bawah NACSA menyarankan semua agensi kerajaan dan entiti Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) menyemak status perkhidmatan masing-masing yang terjejas.
“Semua pihak berkaitan diminta memastikan pemantauan keselamatan siber tidak terganggu dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini daripada Microsoft,” menurut hantaran itu.
NACSA turut meminta sebarang gangguan terhadap operasi organisasi dilaporkan segera menerusi saluran pelaporan sedia ada.
Kredit sumber: Buletin TV3
