KUCHING: Syarikat penerbangan milik kerajaan Sarawak, AirBorneo menambah satu lagi destinasi luar negara dengan mengembangkan penerbangan ke Jakarta, Indonesia, mulai hari ini.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata Jakarta menjadi destinasi kedua AirBorneo di rantau ASEAN selepas Singapura, sekali gus memperluaskan rangkaian penerbangan syarikat itu ke pasaran antarabangsa.
Beliau berkata, Bangkok di Thailand turut berada dalam perancangan pengembangan laluan penerbangan AirBorneo, dengan perbincangan sedang dijalankan bagi mendapatkan kelulusan pendaratan di ibu negara itu.
Menurutnya, penerbangan ke Bangkok dijangka dapat direalisasikan pada suku pertama tahun depan, dengan sasaran ia beroperasi sebelum temasya Sukan SEA 2027.
“Jakarta adalah destinasi kedua selepas Singapura dalam laluan kita di ASEAN. Selepas ini, jika pesawat kita bertambah, kita juga akan melihat kemungkinan untuk terbang ke Bangkok,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelepasan Penerbangan Sulung AirBorneo dari Kuching ke Jakarta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) hari ini.
Beliau berkata, AirBorneo turut merancang pengembangan rangkaian penerbangan ke beberapa destinasi di luar ASEAN dengan Korea Selatan turut menjadi antara destinasi yang sedang dipertimbangkan.
“Seoul dan Pulau Jeju dikenal pasti sebagai dua lokasi berpotensi untuk diterokai dan pelaksanaan penerbangan ke Korea Selatan dijangka hanya dapat dipertimbangkan pada 2027, bergantung kepada perkembangan operasi dan pertambahan jumlah pesawat AirBorneo,” katanya.
Justeru, katanya, AirBorneo yang kini mempunyai hanya dua pesawat untuk penerbangan di luar Borneo merancang menambah tiga lagi bagi menjadikan keseluruhan armadanya lima pesawat untuk menyokong pengembangan rangkaian penerbangan.
Menurutnya, pemilihan destinasi baharu itu turut mengambil kira potensi pelancongan, termasuk pelancongan perubatan yang mampu menarik lebih ramai pengunjung ke Sarawak.
“AirBorneo akan terbang ke kawasan yang mempunyai potensi pelancongan, termasuk pelancongan perubatan.
“Saya percaya perkembangan ini akan memberikan pulangan kepada industri pelancongan dan perkhidmatan kita,” katanya.
Beliau berkata, pertambahan penerbangan antarabangsa itu perlu disokong kemudahan penginapan dan prasarana persidangan yang mencukupi bagi menampung kehadiran pelancong serta peserta acara antarabangsa.
Sehubungan itu, beberapa hotel baharu bertaraf antarabangsa sedang dibangunkan di Kuching, termasuk sebuah di Jalan Ban Hock dan satu lagi berhampiran bekas pasar raya Ting Ting, selain dua lagi projek hotel antarabangsa yang dirancang.
Selain itu, katanya, kemudahan persidangan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) turut diperluaskan bagi meningkatkan keupayaan Sarawak menganjurkan acara bertaraf antarabangsa.
AirBorneo yang sebelum ini menyediakan perkhidmatan udara luar bandar (RAS) memulakan penerbangan jauh pada 20 Julai lalu dengan Kuala Lumpur menjadi destinasi pertama di luar Borneo.
Kredit sumber: Berita Harian – Disiarkan pada 13 November 2026
