NIAMEY: Sekurang-kurangnya 37 orang awam terbunuh selepas sekumpulan lelaki bersenjata melancarkan serangan hendap di barat Niger, berhampiran sempadan Burkina Faso dan Mali, menurut sumber tempatan pada Jumaat.
Niger yang diperintah oleh junta tentera sejak rampasan kuasa pada 2023 kini berdepan ancaman keganasan kumpulan militan jihad yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda dan kumpulan Negara Islam (IS).
Keganasan berlarutan sejak sedekad lalu itu telah mengorbankan ribuan nyawa, khususnya dalam kalangan penduduk awam.
Menurut seorang bekas pegawai yang dipilih rakyat, serangan terbaharu menyasarkan penduduk kampung Tillim yang dalam perjalanan ke pasar mingguan di bandar Tera pada awal pagi Khamis.
Penduduk berkenaan bergerak dengan diiringi anggota kumpulan pertahanan diri tempatan sebelum mereka diserang hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata yang identitinya masih belum dikenal pasti.
Bekas pegawai itu memaklumkan seramai 37 orang terbunuh di lokasi kejadian, manakala seorang lagi mangsa meninggal dunia sehari kemudian akibat kecederaan dialami.
Daripada jumlah korban tersebut, 11 merupakan anggota kumpulan pertahanan diri, selain tujuh wanita dan 20 lelaki.
Seorang penduduk bandar Tera turut mengesahkan serangan berkenaan mengorbankan 37 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak.
Beberapa mangsa lain mengalami kecederaan dan telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Tillaberi menjadi pusat serangan militan
Wilayah Tillaberi yang terletak berhampiran sempadan Mali dan Burkina Faso kini menjadi kawasan paling teruk terjejas akibat serangan kumpulan militan jihad.
Menurut pemantau konflik ACLED, Tillaberi muncul sebagai wilayah paling banyak merekodkan kematian di rantau Sahel Tengah pada tahun lalu, dengan orang awam menjadi kumpulan paling kerap menjadi sasaran keganasan.
Peningkatan serangan itu dikaitkan dengan kedudukan strategik Tillaberi di kawasan sempadan tiga negara, iaitu Niger, Burkina Faso dan Mali, yang menjadi lokasi operasi kumpulan militan.
Wilayah berkenaan turut menempatkan hampir separuh daripada keseluruhan 450,000 penduduk yang berdaftar sebagai orang kehilangan tempat tinggal di Niger pada tahun lalu, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dalam usaha membendung ancaman berkenaan, tentera Niger membenarkan penduduk kampung menubuhkan pasukan militia pertahanan diri bagi membantu melindungi komuniti masing-masing.
Bagaimanapun, penubuhan kumpulan bersenjata tempatan itu turut mencetuskan pertempuran dengan kumpulan militan jihad.
Pada Februari lalu, seramai 25 anggota militia pertahanan diri awam terbunuh dalam beberapa serangan hendap yang dilakukan individu bersenjata tidak dikenali di beberapa kampung di wilayah Tillaberi.
Bulan berikutnya, pihak berkuasa tentera Niger mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan pasukan pembantu awam kepada tentera bagi memperkukuh usaha memerangi kumpulan militan jihad.
Niger berdepan ancaman di dua wilayah
Selain ancaman di bahagian barat negara itu, Niger turut berhadapan serangan kumpulan Boko Haram dan kumpulan pecahannya yang menjadi pesaing, iaitu Islamic State West Africa Province (ISWAP), di wilayah tenggara.
Niger, Burkina Faso dan Mali yang masing-masing kini diperintah oleh junta tentera telah bergabung dalam satu konfederasi bagi memperkukuh kerjasama keselamatan serantau.
Ketiga-tiga negara itu turut menubuhkan pasukan tentera bersama berjumlah 5,000 anggota bagi meningkatkan operasi memerangi kumpulan militan jihad yang terus mengancam keselamatan rantau berkenaan.
Kredit sumber: AFP
