KOTA KINABALU: Usaha Kerajaan Sabah memperbaharui Mahkamah Anak Negeri (MAN) serta memperkukuh kedudukan kepimpinan tradisional melalui kerangka perundangan lebih jelas disifatkan sebagai langkah penting dalam memelihara adat dan identiti masyarakat Anak Negeri.
Penasihat Kehormat Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Cyril P. Yansalang, berkata komitmen Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dalam melaksanakan pembaharuan itu wajar disambut baik bagi memastikan institusi berasaskan adat dan tradisi terus relevan serta berfungsi dengan lebih berkesan.
Menurutnya, pembaharuan MAN selepas lebih tiga dekad pelaksanaan Enakmen 1992 amat penting kerana institusi itu bukan sekadar berperanan menyelesaikan pertikaian, malah menjadi wadah memelihara adat, keharmonian dan nilai kehidupan masyarakat.
Beliau berkata, pengalaman selama enam tahun sebagai Penasihat Mahkamah Juvenil di Tambunan memberinya gambaran jelas mengenai kepentingan akses kepada keadilan di peringkat daerah, khususnya bagi masyarakat di kawasan luar bandar.
“Pengalaman tersebut memberikan gambaran mengenai kepentingan akses kepada keadilan di peringkat daerah serta keperluan memastikan institusi kehakiman mempunyai kemudahan, struktur pentadbiran dan sokongan sewajarnya.
“Masyarakat di daerah dan kawasan luar bandar tidak seharusnya berhadapan kesukaran yang tidak perlu untuk mendapatkan perkhidmatan keadilan,” katanya dalam satu kenyataan.
Cyril turut menyifatkan penggubalan Enakmen Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung 2026 sebagai perkembangan penting kerana menyediakan asas perundangan lebih jelas terhadap kedudukan, fungsi serta tanggungjawab kepimpinan tradisional berkenaan.
Katanya, ketiga-tiga lapisan kepimpinan itu mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat, memahami adat dan keadaan setempat, selain memainkan peranan membantu menyelesaikan masalah serta mengekalkan keharmonian komuniti.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pengiktirafan melalui undang-undang perlu disertai proses pelantikan yang telus dengan mengambil kira aspek integriti, pengetahuan adat, pengalaman dan penerimaan masyarakat setempat.
“Individu yang diberikan amanah ini hendaklah benar-benar berupaya mewakili dan berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Cyril merakamkan penghargaan kepada Hajiji atas komitmen menggerakkan agenda pembaharuan berkenaan, termasuk perhatian terhadap pembangunan dan penaiktarafan bangunan MAN serta kemudahan infrastruktur berkaitan.
Beliau berkata, pembaharuan perundangan perlu disokong kemudahan fizikal, sumber mencukupi dan bidang tugas yang jelas supaya institusi mahkamah serta pemimpin tradisional dapat melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan berkesan.
Cyril yang juga Penasihat Kehormat Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) berharap pembaharuan itu dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan tidak terhenti pada kelulusan undang-undang semata-mata.
“Memperkukuh Mahkamah Anak Negeri bermakna memperkukuh keadilan berasaskan adat, manakala menginstitusikan kepimpinan tradisional bermakna memelihara struktur masyarakat kita.
“Kedua-duanya penting untuk kesinambungan warisan dan identiti Anak Negeri Sabah,” katanya.-DAKWAT RAKYAT POST
